Pertumbuhan Ekonomi Sabah… Rakyat Masih Tersisih Di Sebalik Angka Maju

KOTA KINABALU, 1 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Sufian Abd Karim membangkitkan kebimbangan berhubung jurang ketara antara pertumbuhan ekonomi makro Sabah dengan realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan negeri mengenai output ekonomi Sabah yang mencecah RM84.3 bilion serta nilai perdagangan yang melepasi RM100 bilion selama tiga tahun berturut-turut, namun menegaskan bahawa pencapaian itu belum diterjemahkan secara menyeluruh kepada kesejahteraan rakyat.

“Realitinya, angka besar tidak bermakna jika ia sekadar menjadi alat persembahan politik tanpa jejak manfaat kepada rakyat terbanyak. Kemakmuran ini seolah-olah hanya berlegar di bilik mesyuarat, bukan di kedai runcit, ladang kecil atau dapur rumah rakyat biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejayaan ekonomi harus dilihat dari segi penciptaan peluang pekerjaan yang stabil, sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta pembangunan infrastruktur dan taraf hidup rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar.

Sufian turut mempersoalkan keberkesanan pelaburan yang diumumkan oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan perlu jujur, berapa banyak pelaburan yang diumumkan benar-benar masuk dan memberi faedah kepada tenaga kerja tempatan? Apa indikator impak sosial yang digunakan untuk menilai hala tuju ekonomi negeri ini?” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa Sabah tidak memerlukan sekadar hiasan angka, tetapi dasar yang berpijak di bumi nyata dan menyentuh kehidupan rakyat secara langsung.

“Kemajuan bukan untuk dihias, tetapi untuk dirasai. Jika rakyat terus menanggung derita di sebalik angka yang memukau, maka pentadbiran ini hanya berjaya membina gambaran kemajuan yang rapuh – bukan kesejahteraan sebenar,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79