Adakah Ketika Bersama Dap, Pas Tidak Islam? – Ismail
KUALA KRAU, 4 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said mempersoalkan adakah ketika Pas menjalin kerjasama bersama Dap suatu waktu lalu mereka tidak Islam?
Membidas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andasura Rabu, beliau menegaskan bahawa tugas pembangkang hanyalah untuk menidakkan dan membangkang usaha Kerajaan Negeri Pahang menjaga kebajikan rakyat.
“Adat pembangkang… kalau kita tengok ucapan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau kata jadi pembangkang ini lebih mudah. Apa yang kerajaan buat kita bangkang dan tuntut apa sahaja dimahukan. Tetapi apabila dah duduk dalam kerajaan, baru dia tahu bahawa susahnya mentadbir kerana terikat dengan undang-undang sedia ada.
“Memang tugas pembangkang adalah menghasut. Jadi, apa sahaja usaha yang dibuat kerajaan, mereka akan ‘kacau’ supaya rakyat tidak bersama dengan kerajaan dan akhirnya berharap agar pengundi akan memilih mereka. Jadi tugas UMNO pada ketika ini adalah untuk mempertahankan kerajaan mengikut fakta yang ada.
“Saya memandang serius terhadap usaha yang dibuat oleh Pas untuk #TerajuPahang ini. UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak boleh memandang enteng dan ambil mudah dalam keadaan semasa seperti isu ekonomi. Kita perlu selesaikan dan pertahankan melalui medium sedia ada termasuk menjejaskan dasar kerajaan kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) langsung tidak menggugat prinsip perjuangan parti kerana majoriti pemimpinnya adalah beragama Islam.
“Saya tidak faham. Masa mereka (Pas) bersama dengan Dap, adakah mereka bukan Melayu, Islam? Di Selangor, mereka bekerjasama untuk membentuk kerajaan. Selepas itu, mereka pernah memberi tauliah kepada Lim Guan Eng yang pada ketika itu Setiausaha Agung Dap sebagai ‘ulul amri’.
“PH bekerjasama dengan BN yang di dalamnya ada UMNO, MIC dan MCA. Dalam kita menubuhkan kerajaan ini, asalkan dominannya adalah pemimpin beragama Islam, maka kita adalah pemimpin yang mahu menegakkan syariat Islam. Maka, tidak timbul isu agar kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang ini dikembalikan kepada Melayu, Islam,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa kepimpinan di bawah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail amat berwawasan dan berpandangan jauh.
“Saya melihat kepada tokoh kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy yang mempunyai wawasan dan berpandangan jauh. Kalau mentadbir kerajaan, kita mesti ada pendapatan yang tinggi untuk menjaga kebajikan dan memberi pulangan kepada rakyat.
“Menteri Besar telah sediakan insentif kepada rakyat yang disebut sebagai Prihatin Pahang, sekarang kita jenamakan semula kepada Inisiatif Makmur Pahang. Untuk tahun 2025, dalam Bajet Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy telah sediakan peruntukan sebanyak RM50.54 juta. Ini kerana hasil kerajaan tinggi dan perpaduan di antara BN-PH cukup bagus.
“Mereka (PH) tidak membuat sebarang bantahan terhadap apa sahaja usaha yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk rakyat. Ini bermakna, Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui oleh Kerajaan Perpaduan cukup aman, tenang dan paling penting stabil untuk terus memberikan kebajikan kepada rakyat,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Andasura menggesa agar kuasa politik di Negeri Pahang dikembalikan kepada orang Melayu, Islam susulan tindakan UMNO/BN mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.
Dakwanya, langkah tersebut merupakan pengkhianatan terhadap rakyat Pahang dan mencerminkan keghairahan parti itu untuk mengekalkan kuasa walaupun terpaksa mengetepikan prinsip. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman