KESUMA Laksana Pelbagai Langkah Atasi Isu Kekurangan 10,000 Jentera, Pakar AI
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui agensi-agensinya telah melaksanakan pelbagai langkah konkrit untuk mengatasi isu kekurangan 10,000 jurutera dan pakar kecerdasan buatan (AI).
Timbalan menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, isu tersebut memberi kesan langsung kepada daya saing negara dalam Revolusi Industri 4.0.
“Kerajaan mengambil serius isu kekurangan kira-kira 10,000 jurutera dan pakar AI di Malaysia kerana ia memberi kesan langsung kepada daya saing negara dalam Revolusi Industri 4.0. Sehubungan itu, KESUMA melalui agensi-agensinya telah melaksanakan pelbagai langkah konkrit yang bersifat menyeluruh dan berpandangan jauh bagi mengatasi isu ini.
“Melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM), sebanyak 33 Institut Latihan telah menawarkan program kemahiran TVET dalam bidang teknologi terkini termasuk AI. Di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), pendekatan perantisan berasaskan tempat kerja melalui program Akademi Dalam Industri (ADI) telah dilaksanakan melibatkan lebih 1,700 syarikat dan 303 pusat latihan. Ini membolehkan latihan praktikal secara langsung dalam persekitaran industri sebenar.
“Selain itu, JPK turut bekerjasama dengan badan peneraju industri seperti Cybersecurity Malaysia (CSM), Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) bagi membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dalam bidang AI dan keselamatan siber, berasaskan kajian permintaan tenaga kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan lisan, menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan TalentCorp telah membangunkan platform MyMAHIR.my untuk memberi panduan kerjaya dan latihan berdasarkan Kajian Impak AI, Digital dan Ekonomi Hijau.
“Dalam masa yang sama, CIAST pula melaksanakan kursus jangka pendek kepada pengajar TVET melibatkan modul seperti AI for Generative Industrial Instructor dan Metaverse in Education, dengan 475 pengajar dilatih sejak 2024.
“Di samping itu, TalentCorp telah membangunkan platform MyMAHIR.my untuk memberi panduan kerjaya dan latihan kepada pelajar, belia dan pencari kerja berdasarkan Kajian Impak AI, Digital dan Ekonomi Hijau.
“Selanjutnya, HRD Corp pula memanfaatkan levi latihan untuk melaksanakan program peningkatan kemahiran. Setakat Jun 2025, lebih 1.3 juta tempat latihan diluluskan, termasuk 170 ribu penempatan latihan TVET, dengan peruntukan melebihi RM1.2 billion,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan juga telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara HRD Corp dan Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST) pada 24 Julai 2025.
“Kerajaan juga telah memeterai MoU strategik antara HRD Corp dan CREST pada 24 Julai 2025 bagi melaksanakan ETSI yang menyasarkan 60 ribu jurutera menjelang 2030.
“Inisiatif ini menyokong Strategi Semikonduktor Negara (NSS), Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta Rangka Kerja ASEAN Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS).
“Langkah-langkah ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam membina ekosistem bakat teknologi yang mampan. Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja menangani kekurangan semasa, malah memacu kesiapsiagaan tenaga kerja masa hadapan yang inovatif, kompetitif dan sejajar dengan aspirasi negara digital,” katanya lagi. – UMNO Online