UMNO Segambut Gesa Segerakan Laksana Titah Addendum, Usul Cuti Bergaji Haji Sektor Swasta
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segambut yang berlangsung pada Ahad menyaksikan ketegasan akar umbi dan kepimpinan bahagian terbabit dalam mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan pelaksanaan Titah Addendum yang memperkenankan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
UMNO Segambut yang diketuai oleh Datuk Mahadhir Sulaiman menegaskan bahawa titah yang diperakukan secara rasmi oleh Istana Pahang pada 4 Januari 2025, dan disahkan memiliki asas perundangan yang kukuh oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025, wajib segera dilaksanakan.
“Titah bukan cadangan. Titah adalah perintah. Ini bukan soal politik, ini soal maruah institusi Raja dan penghormatan terhadap Perlembagaan,” tegasnya kepada UMNO Online seusai persidangan terbabit.
Ujarnya, sidang tersebut telah meluluskan empat ketetapan utama dalam usul tersebut yang dikemukakan oleh Ketua Penerangannya, Mu’izz Nasruddin iaitu:
1. Merafak sembah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, agar pelaksanaan Titah Addendum disegerakan mengikut lunas Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
2. Menegaskan bahawa penjelasan rasmi berkaitan kewujudan dan kesahan titah dalam prosiding pengampunan dan mahkamah perlu dihormati dan dijunjung.
3. Memohon Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan serta menjunjung titah Raja dan menegakkan keadilan.
4. Menganggap keengganan melaksanakan titah sebagai suatu bentuk penghinaan kepada Institusi Diraja dan pengkhianatan terhadap asas Perlembagaan.
Tegas Mahadhir, UMNO Segambut turut menyeru Kerajaan Persekutuan, termasuk Perdana Menteri dan Jabatan Penjara Malaysia, agar bertindak segera menjunjung titah tersebut demi keadilan dan kemanusiaan.
Dalam mesyuarat yang sama, satu lagi usul penting turut dibentangkan iaitu cadangan agar kerajaan menggubal cuti khas bergaji penuh untuk ibadah haji bagi pekerja sektor swasta Muslim.
Pencadang usul ialah Ahli Jawatankuasanya, Amir Sharipuddin, yang menegaskan bahawa penjawat awam sudah lama menikmati kemudahan tersebut, manakala pekerja sektor swasta terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau menggunakan cuti tahunan yang terhad demi menunaikan rukun Islam kelima itu.
Usul tersebut mencadangkan tiga langkah utama:
1. Pindaan Akta Kerja 1955 atau penggubalan akta baharu bagi membolehkan cuti khas bergaji penuh sekali seumur hidup kepada pekerja Muslim sektor swasta bagi tempoh 40 hingga 45 hari untuk menunaikan haji melalui muassasah Tabung Haji.
2. Menjamin hak cuti lain seperti cuti tahunan, cuti sakit dan cuti umum tidak terjejas.
3. Pemberian insentif cukai kepada majikan yang menyokong cuti bergaji ini sebagai pengiktirafan dan galakan.
Usul ini disandarkan atas empat prinsip utama: keadilan sosial, pemerkasaan agama, motivasi pekerja, dan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Usul ini adalah suara keadilan, suara kebajikan, dan suara umat yang mendambakan ruang untuk menyempurnakan ibadah tertinggi dalam Islam.
“UMNO Segambut berharap agar kerajaan meneliti dan melaksanakan cadangan tersebut secepat mungkin.”
Dalam masa yang sama, Mahadhir merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan dan ahli-ahli UMNO bahagian terbabit yang telah bersama-sama melunaskan tanggungjawab menjayakan persidangan parti khususnya kepada perasmi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. – UMNO Online