Parti-Parti Kerajaan Perpaduan Perlu Hormat Kerusi Masing-Masing

RAUB, 27 Julai – Parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu menghormati kerusi-kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) diduduki seperti dalam perjanjian yang telah dimeterai, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau amat memahami kedudukan kerusi Parlimen Raub yang telah diberikan kepada MCA ketika Kerajaan Perikatan dibentuk.

“Saya melihat bahawa pengundi-pengundi Melayu di Raub ada 52.5 peratus termasuk orang-orang Asli ada lagi lima peratus. Jumlahnya 57 peratus. Saya amat memahami kerusi Raub ini diberikan kepada MCA satu ketika dahulu kerana mereka adalah sahabat kita apabila Kerajaan Perikatan dibentuk. MCA terus berada dengan kita apabila Tun Abdul Razak membentuk BN (Barisan Nasional).

“Dalam situasi begini apabila MCA alami kekalahan tiga kali PRU (Pilihan Raya Umum), kita dapat lihat Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti yang tidak begitu tinggi. Di dalam perjanjian, PH atau mana-mana parti membentuk Kerajaan Perpaduan mesti menghormati kerusi-kerusi yang dipegang oleh mana-mana parti diduduki.

“Sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan, UMNO/Barisan Nasional (BN) ada sembilan kerusi di Perak. PH ada 24 kerusi. Ikut hukum politik, kerusi Menteri Besar akan diberikan kepada parti yang ada banyak kerusi. Tetapi tidak berlaku begitu, sebaliknya mereka tak tuntut dan serahkan kepada kita. Itu hakikatnya. Apakah maknanya? Maksudnya, yang banyak mereka serah… yang sikit pun mereka bagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub, petang tadi.

Sementara itu, beliau berpandangan bahawa para pemimpin perlu turun ke bawah untuk meninjau apa masalah yang berlaku di peringkat bahagian mahupun cawangan.

“Saya merasakan bahawa setinggi mana kedudukan kita dalam parti kerajaan, apa pun jawatan kita pegang dan sandang, ia adalah amanah… bukan ‘ghanimah’. Tanggungjawab yang ada pada kita. Tidak ada satu jawatan pun yang kekal. Apabila ia menjadi amanah maka kita harus turun ke bawah, tinjau akar umbi supaya tahu apa masalah utama di bahagian dan cawangan berkenaan.

“Saya meneliti di setiap bahagian. Ada 191 bahagian di seluruh negara. Sebagai nakhoda parti saya harus meneliti setiap perkembangan dan situasi politik untuk ketahui di mana kelemahan, kekuatan… apakah unjuran yang boleh dilakukan, cabaran yang akan dan telah dihadapi serta solusi kerana kita wajib dominan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.

“Kita belajar dari kesilapan PRU ke-15 lalu kita dapat hanya 30 kerusi. Kenapa? Dalam tinjauan yang saya dapat… ketika itu kita dipecahkan dari dalam dan kita juga memecahkan diri kita dari dalam. Terlalu banyak gunting dalam lipatan, duri dalam daging. Oleh itu, kalau kita mahu menang, buat cara kerja macam nak menang. Jangan tembak sesama sendiri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa sifat daya tahan terhadap sebarang tekanan perlu ditetapkan dalam diri setiap pejuang parti.

“Kita orang perjuangan, apa jua tekanan kita mesti ada daya tahan. UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946, mereka juga pernah ditekan oleh British. Saya sanggup difitnah, dicerca, dimaki… tapi jangan ada mana-mana individiu dalam UMNO yang mencerca UMNO. Kita boleh lupakan, maafkan. Bukan mudah apabila kita tiada kuasa, kedudukan, dituduh… tetapi saya ada seorang sahabat yang sangat setia di Pahang iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Dalam politik ini harus ada keikhlasan. Di dalam politik ini harus ada amanah… amanah para perwakilan untuk duduki jawatan penting dalam parti. Cukup-cukuplah, lupakanlah kisah lampau.. ada adab untuk tangani perbezaan pendapat. Mudah-mudahan kita dapat kembali ke landasan perjuangan sebenar dan dominan semula,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79