UMNO Alor Setar Tuntut Titah Adendum Didedah, Segera Dilaksana
KUALA LUMPUR, 26 Julai – UMNO Bahagian Alor Setar telah membawa usul untuk menuntut agar Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didedahkan dan segera dilaksanakan.
Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, terlalu banyak jasa yang telah disumbangkan oleh Najib ketika mentadbir negara.
“Kita semua tahu siapa Najib. Bukan saja Perdana Menteri, tetapi pembela waktu rakyat tersepit. Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M bukan sekadar duit), itu nyawa mak ayah kita waktu sesak. Klinik 1Malaysia bukan sekadar ubat, itu tempat berteduh orang tua kita waktu sakit.
“Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), TEKUN, Yayasan Peneraju… semua itu bukan untuk kroni, tapi untuk anak-anak bangsa. Beliaulah orang yang membawa pelabur masuk, membuka peluang pekerjaan, membangunkan negara dan beliau tidak pernah lari daripada UMNO walaupun diseret masuk ke penjara.
“Beliau telah jalani 16 bulan penjara. Diam. Sabar. Setia. Beliau tidak lompat parti. Tidak kutuk UMNO. Tidak merayu kepada musuh. Apabila Lembaga Pengampunan beri diskaun separuh hukuman beliau tetap di dalam penjara.
“Bandingkan… bagaimana dengan orang lain? Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dipenjara. Dapat pengampunan penuh. Keluar terus jadi Perdana Menteri. Apa beza? Najib lebih setia. Tapi kenapa layanan berbeza?” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah turut mempersoalkan siapakah yang bertindak menyorokkan Titah Adendum tersebut.
“Baru-baru ini, kita digemparkan dengan pendedahan tentang Titah Adendum, satu titah diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membenarkan Najib menjalani baki hukumannya di rumah. Terbaharu, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menafikan kewujudan titah ini.
“Tapi dokumen itu tidak dikemukakan. Tiada siapa tampil mengaku. Tiada siapa laksana. Soalnya sekarang, kalau benar titah ini wujud, siapa yang sembunyikan? Siapa yang derhaka diam-diam kepada raja? Ini bukan soal politik lagi. Ini soal institusi. Soal prinsip. Soal keadilan yang cuba ditenggelamkan oleh tangan-tangan takut akan bayang.
“Bayangkan tangan yang dulu hulurkan BR1M kepada emak kita, hari ini digari dalam sunyi. Bayangkan wajah yang pernah senyum di pentas UMNO, hari ini duduk dalam sel, tanpa suara dan kita di sini? Masih ragu-ragu nak bersuara membela?
“Kita bukan parti pengecut. Kita bukan parti yang diam apabila kawan dikhianat. Kita bukan parti yang rela lihat pemimpin dianiaya demi jaga imej. UMNO mesti buktikan bahawa kita tidak tunduk pada tekanan politik, setia kepada pejuang kita dan berani bangkit apabila keadilan diinjak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada Najib dan menuntut pembebasan segera melalui saluran sah.
“UMNO Malaysia juga wajib menuntut agar Titah Adendum didedahkan dan dilaksanakan, serta menolak cubaan mana-mana pihak menyembunyikan titah Raja Berdaulat. Selain itu, UMNO mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat pengendalian kes ini dan kemungkinan sabotaj dalaman terhadap titah diraja.
“Kami juga ingin mengusulkan agar Sekretariat Khas Pembela Najib ditubuhkan di setiap bahagian UMNO, untuk menyelaras data, fakta, tandatangan rakyat dan memorandum kepada Istana Negara.
“Akhir sekali, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengambil langkah segera untuk membawa usul ini ke peringkat tertinggi parti dan menghadap YDPA ke-17 bersama warkah permohonan rasmi,” katanya lagi. – UMNO Online