Tun Mahathir Dan Ahmad Zahid Henti Pertikaian, Utama Kepentingan Rakyat
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mempertimbangkan saranan daripada Mahkamah demi mengutamakan kepentingan rakyat dan memulihkan keharmonian dalam kalangan para pemimpin negara.
Peguam kepada Ahmad Zahid, Shahrul Fazli dan Peguam kepada Tun Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi menerusi satu kenyataan bersama berkata, kedua-dua pihak bersetuju dan menghentikan pertikaian peribadi di antara mereka di dalam prosiding Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, sebentar tadi.
“Kedua-dua pihak mengakui bahawa terdapat kenyataan-kenyataan sebelum ini yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham berkaitan identiti dan integriti peribadi pihak-pihak. Namun, perkara-perkara ini telah diperjelaskan dengan sewajarnya oleh pihak-pihak.
“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mempertikaikan bahawa nama Tun Dr Mahathir seperti yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah Mahathir bin Mohamad, dan sebarang kenyataan sebelum ini yang menimbulkan tanggapan sebaliknya telah dibuat berdasarkan maklumat daripada Ketua Pengarah JPN.
“… yang mana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiada sebab untuk meragui pada ketika itu. Pihak-pihak dengan ini menarik balik sebarang rujukan kepada kewujudan dokumen pengenalan dengan nama ‘Mahathir a/l Iskandar Kutty’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas tamat prosiding mahkamah mengenai kes tersebut, sebentar tadi.
Jelas mereka, Tun Dr Mahathir juga tidak mempertikaikan kenyataannya pada 23 Februari 2022 berkenaan siasatan atau prosiding jenayah terhadap Ahmad Zahid adalah berdasarkan kepada maklumat daripada pihak ketiga.
“Tun Dr Mahathir Mohamad tiada sebab untuk meragui pada ketika itu. Tambahan pula, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-7 dan tidak berada di dalam Kerajaan pada ketika kedua-dua situasi yang dirujuk dalam kenyataannya tersebut.
“Pihak-pihak dengan ini menarik balik sebarang rujukan kepada cubaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi melalui apa-apa kenyataan atau pertemuan untuk menghentikan prosiding jenayah terhadapnya di luar lingkup proses kehakiman.
“Daripada pernyataan-pernyataan di atas, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya subjek utama dalam pertikaian-pertikaian antara pihak-pihak telah dijelaskan dan tidak lagi berbangkit,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, dimaklumkan bahawa penyelesaian tersebut dilakukan untuk mengukuhkan semangat perpaduan dan menghormati prinsip-prinsip keluhuran perlembagaan serta institusi kehakiman.
“Penyelesaian ini bertujuan bukan sahaja untuk menamatkan prosiding sivil yang sedang berjalan, tetapi juga untuk mengukuhkan semangat perpaduan, mempertingkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara, serta menghormati prinsip-prinsip keluhuran perlembagaan dan institusi kehakiman.
“Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi serta pegawai-pegawai Mahkamah yang telah menunjukkan kewibawaan institusi Kehakiman Negara dalam menjalankan amanah mereka dengan penuh hemah dan dedikasi,” katanya lagi. – UMNO Online