DIPN Bakal Dibentang Kepada Mesyuarat Jemaah Menteri Pada Ogos 2025 – Mohamed Khaled
]KUALA LUMPUR, 21 Julai – Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) kini dalam peringkat akhir penyediaan dan dijadualkan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Ogos ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha pembangunan keupayaan pertahanan kendiri meliputi pelbagai aspek adalah untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada kuasa luar.
“Kementerian Pertahanan sememangnya berpendirian bahawa keupayaan pertahanan kendiri merupakan teras kepada kedaulatan, keselamatan dan kebebasan negara, khususnya dalam menghadapi landskap geopolitik yang semakin mencabar.
“Untuk Malaysia, usaha pembangunan keupayaan pertahanan kendiri meliputi pembangunan teknologi, sistem persenjataan, prasarana penyelenggaraan dan pemantapan modal insan tempatan dengan tujuan mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar serta meningkatkan kecekapan tindak balas terhadap sebarang ancaman.
“Dalam hal ini, selaras dengan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 25 Jun 2025 dan akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebentar tadi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Kementerian Pertahanan juga sedang dan bakal membangunkan pembangunan keupayaan pertahanan kendiri dengan menekankan beberapa aspek utama.
“Antaranya adalah; pemerkasaan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebagai pusat kecemerlangan di rantau Asia Tenggara; pendekatan ekosistem bersepadu dalam membina keupayaan sains, teknologi dan inovasi pertahanan.
“Selain itu, penstrukturan semula Malaysian Industry Council for Defence Enforcement & Security (MIDES) kepada Majlis Strategik Industri Pertahanan bagi penambahbaikan tadbir urus; Pembangunan dasar Program Kolaborasi Industri (ICP) sektor pertahanan yang komprehensif.
“…dan Penubuhan Syarikat Bertujuan Khas (SPV) di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi mempertingkatkan jalinan pembangunan industri dalam ekosistem pertahanan tempatan serta memperkasakan pengurusan ICP,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang menerima dan menimbang tawaran kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan negara-negara luar.
“Dalam masa yang sama, Kementerian Pertahanan sedang memuktamadkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) sebagai rangka kerja strategik untuk memperkukuh kemandirian, inovasi dan kemajuan teknologi dalam industri pertahanan Malaysia. DIPN kini di peringkat akhir penyediaan dan dijadualkan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Ogos 2025.
“Selain daripada itu, kerajaan juga menerima dan sedang menimbang tawaran kerjasama R&D dengan negara-negara sahabat, terutama Turkiye, dalam bidang industri pertahanan seperti Sistem Keselamatan Sempadan, Sistem Radio Profesional, Sistem Pertahanan Udara dan sebagainya,” katanya lagi. – UMNO Online