Bazar Juadah Ramadhan 2019 : Jawatankusa Bertindak Serah Referendum, Mohon Pertimbangan Menteri Wilayah


KUALA LUMPUR, 12 Mac –Jawatankuasa Bertindak Protes Bazar Juadah Ramadhan 2019 hari ini menyerahkan referendum kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga bekas menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya dalam usaha memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak berkaitan terutama untuk perhatian menteri yang bertanggungjawab, Khalid Samad.

Referendum itu diserahkan di luar perkarangan parlimen pagi tadi oleh wakil jawatankuasa berkenaan, Ghulam Muzaffar Gulam Mustakim bersama beberapa yang lain.

Menerusi referendum berkenaan, mereka memohon pihak kementerian agar dapat mengekalkan penganjuran bazar Ramadhan kepada persatuan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah diberi pengiktirafan dan tauliah penganjuran tahun-tahun sebelum ini.

“Imbas kembali, peranan utama yang diberikan kepada kami selaku penganjur adalah disebabkan pihak DBKL sendiri mengakui tidak mampu melaksana dan mengawal selia modus operasi baik dari segi pengurusan, keselamatan, kebersihan dan juga kelancaran operasi harian keseluruhan bazar Ramadhan yang mana hampir 70 bazar dan lebih 6,000 tapak yang memerlukan pemantauan secara rapi, teratur dan berkesan.

“Malah salah satu objektif DBKL memberi peranan kepada kepada penganjur adalah untuk mengelakkan unsur penjualan tapak bazar kerana kami lebih arif, berpengetahuan dan mempunyai rekod penjaja-penjaja yang benar-benar ingin berniaga berbanding orang luar yang akan menjadi agen atau ulat yang telah mendapat tapak bazar untuk mendapat keuntungan atas angin dan menjualnya berlipat kali ganda.

“Dan apabila peranan ini diberikan kepada penganjur (persatuan atau NGO) adalah bagi mengelakkan penjaja haram atau ‘penjaja rambo’ yang menimbulkan ketidakadilan dan ketiadkpuasan hati di kalangan penjaja-penjaja yang mengikut undang-undang. Pihak persatuan atau NGO cakna dalam soal ini kerana akan berada di lapangan bermula dari jam 2 petang hingga 8 malam untuk urusan pemantauan,” katanya.

Jelasnya lagi sepanjang 20 tahun mengurus dan mengelola bazar Ramadhan, tiada sebarang isu besar yang timbul kecuali di bazar Ramadhan Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman yang dikendalikan oleh pihak DBKL dan ini sudah cukup sebagai bukti kukuh keberkesanan operasi bazar Ramadhan yang dikendalikan oleh persatuan atau NGO.

“Di bawah konsep ‘Rahmatan Lil Alamiin’, kami percaya menteri adalah seorang yang peduli rakyat dan diharapkan agar dapat menimbang secara serius untuk pertimbangkan semula kertas permohonan sebelum ini selaku penganjur bazar juadah Ramadhan dan ianya diharap kekal diuruskan oleh persatuan atau NGO seperti sebelum ini,” tambahnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.