Perpaduan Melayu: PN Sombong Dan Ego – Dr Azhar
BERUAS, 22 Julai – Ketiadaan parti tunggal yang dominan menjadi kerajaan Pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebenarnya mampu mengembalikan kekuatan dan perpaduan orang Melayu, ujar Ketua UMNO Bahagian Beruas Datuk Dr Azhar Ahmad.
Walaubagaimanapun katanya, ia tidak berlaku atas tindakan Perikatan Nasional (PN) yang tidak bijak dan lebih memperlihatkan sikap sombong dan ego mereka yang menolak titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar semua parti bekerjasama menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Kalau (semua) setuju Kerajaan Perpaduan, Melayu dominan. Tidak ada payung besar payung kecil. Kalau terjadinya perpaduan itu dan PN tak sombong maka Malaysia hari ini dominannya oleh orang Melayu.
“Pas ada orang Melayu, UMNO ada orang Melayu, PKR ada orang Melayu. Kalau campur semua Menteri Melayu tak timbul takut Islam terancam dan sebagainya. Tapi PN tidak bijaksana tak tengok teori Arend Lijphart, hanya lihat sombong dan ego. Akhirnya hari ini mereka nak buat khemah besar. Apakah khemah besar dengan buang parti… pilih parti. Itu bukan besar, itu mengecil,” tegasnya kepada UMNO Online.
Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas yang disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak merangkap Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad baru-baru ini.
Jelas Dr Azhar, politik baharu kini boleh dilihat kepada teori Arend Lijphart berhubung perkongsian kuasa.
“Politik alaf baru ini bukan politik yang boleh didominasi oleh satu parti. Ia mesti kedinamikan politik, kesatuan politik, perpaduan politik itulah yang menentukan negara bangsa. Seluruh dunia tiada lagi yang seperti itu (dominasi),” katanya.
Tambah Dr Azhar, atas kebijaksanaan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, parti terus relevan sesuai dengan zaman dan masa.
“Kebijaksanaan UMNO melalui Presidennya inilah yang jadi seperti ini (bersama Kerajaan Perpaduan) setelah Presiden kita boleh baca mesej. Mesej apa? Mesej selepas pilihan raya 2022 semua manifesto daripada semua parti ditolak oleh rakyat.
“Akhirnya kita tengok teori Arend Lijphart, 1977. Buku itu mengatakan tidak ada politik yang dominan. Jadi kita kena ada permuafakatan. Kita mesti ada prinsip mendengar mesej rakyat, mesej rakyat menolak kita semua, akhirnya tuanku yang bijaksana tubuh Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Manakala dalam perkembangan yang lain, dalam ucapan aluan di majlis perasmian tersebut, Dr Azhar berkata anak-anak muda di kawasan Beruas harus merebut peluang pekerjaan di Lumut Maritime Industrial City (LuMIC).
“Beruas dekat dengan Lumut, tertakluk dalam daerah Manjung. Pendidikan vokasional (TVET) dan LuMIC, semua ini berada dalam kawasan kita.
“Tanggungjawab kita memenuhi tuntutan-tuntutan ini kepada anak-anak bangsa kita – Melayu, Cina dan India bagi mengisi kekosongan-kekosongan jawatan suatu masa nanti di LuMIC berkehendakkan pekerjaan hampir 20 ribu ke 30 ribu orang. Kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri (Saarani) telah menyediakan ‘perahu sudah di air, dayung sudah di tangan’,” katanya.
LuMIC merupakan sebahagian daripada Pelan Perak Sejahtera 2030 yang bertujuan menjadikan Perak sebagai hab perindustrian maritim dan kemakmuran negeri. – UMNO ONLINE