Jangan Cuba Bina Naratif Politik Separuh Masak – Syarul Adam
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Kenyataan ARMADA Johor Bahru dilihat tidak lebih daripada cubaan untuk membina naratif politik separuh masak, berasaskan manipulasi statistik dan sentimen kosong.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Syarul Adam Rahmatullah berkata, kenyataan tersebut memperlihatkan kekeliruan kronik antara angka pertumbuhan ekonomi dengan agenda kemajuan menyeluruh.
“Kami memandang serius kenyataan dikeluarkan oleh ARMADA BERSATU Johor Bahru yang memperlihatkan kekeliruan kronik antara angka pertumbuhan ekonomi dengan agenda kemajuan menyeluruh.
“Kekeliruan ini amat mendukacitakan lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada sebuah entiti politik yang pernah, walaupun seketika, menerajui pentadbiran negeri ini. Tempoh singkat itu pun telah meninggalkan kesan yang mendalam, bukan dalam bentuk kemajuan, tetapi kekeliruan dasar dan ketidaktentuan hala tuju.
“Ekonomi Johor bukan sekadar angka. Ia adalah natijah daripada dasar berpaksikan realiti dan pelaksanaan yang konsisten. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.4 peratus dan pelaburan mencecah RM30.1 bilion bukan berlaku secara kebetulan.
“Ia adalah hasil kepimpinan yang stabil, pentadbiran berwibawa dan dasar mesra pelabur. Kejayaan ini wajar dihargai, bukan diperlekeh. Bila Johor melangkah maju, segelintir pula menjadi gelisah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, Kerajaan Negeri Johor mengakui isu gaji rendah dan ‘brain drain’ yang berlaku namun tidak berdiam diri dan menawarkan jalan penyelesaian untuk mengatasi isu tersebut.
“Menaikkan ekonomi negeri dan memacu pertumbuhan bukan tugas ringan. Ia menuntut visi, iltizam dan kestabilan politik bukan retorik bermusim. Hakikatnya, Johor menjadi destinasi pelaburan kerana keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor dan kestabilan di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN). Jangan rendahkan usaha bertahun-tahun hanya demi naratif politik jangka pendek yang hambar dan tidak bertulang.
“Kerajaan negeri tidak pernah menafikan wujudnya cabaran seperti kadar gaji rendah dan penghijrahan bakat muda. Tetapi perbezaannya… kami tidak menafikan, kami bertindak.
“Antara langkah konkrit yang sedang digerakkan ialah Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menawarkan gaji kompetitif kepada tenaga kerja tempatan dalam sektor bernilai tinggi.
“Juga Penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC) untuk melahirkan modal insan mengikut keperluan sebenar industri. Ini bukan gimik atau mimpi kosong. Ini pelan tindakan berfasa dan berasaskan realiti,” katanya lagi.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Johor tidak pernah meminggirkan mana-mana daerah dari aspek pembangunan.
“Selain itu, adalah dangkal untuk membandingkan Johor Bahru dengan daerah lain tanpa memahami konteks sosioekonomi, geografi dan potensi setempat. Namun hakikatnya, kerajaan negeri tidak meminggirkan mana-mana daerah.
“Di Mersing, kita telah naik taraf Kampung Stay Teluk Buih, Pusat Rekreasi Sungai Triang Besar dan lakukan pemulihan Pantai Air Papan sebagai tarikan pelancongan. Di Segamat kita naik taraf Pusat Rekreasi Pesisir Sungai Segamat, Tapak Belia Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC). Untuk makluman, Segamat dan Mersing diiktiraf sebagai hab pengeluaran makanan bagi sektor pertanian, perikanan dan tenusu.
“Di Kota Tinggi, ada 14 inisiatif khas untuk warga Felda bernilai RM4.5 juta. Selain itu, isu rumah terbengkalai generasi kedua Felda telah diselesaikan dan ia menelan peruntukan sebanyak RM25 juta untuk siapkan projek-projek perumahan tersebut dalam tahun ini. Semua pembangunan ini dirancang secara strategik dan bersesuaian dengan kekuatan tempatan, bukan pendekatan ‘one-size-fits-all’,” katanya lagi.
Seterusnya, beliau turut menyanggah tindakan ARMADA BERSATU yang gagal menyelesaikan isu rakyat ketika diberi peluang untuk memerintah.
“Mereka melaung-laungkan kononnya mahu membela yang miskin. Tetapi soalnya,
siapakah yang gagal menyelesaikan isu perumahan dan kemiskinan bandar sewaktu diberi peluang memerintah? Jangan sembunyikan kegagalan semalam dengan menuduh dan menunggang kejayaan hari ini.
“Kami realistik, bukan retoris. Kenyataan ARMADA Johor Bahru tidak lebih daripada cubaan membina naratif politik separuh masak, berasaskan manipulasi statistik dan sentimen kosong. Kami tidak mendakwa kerajaan negeri ini sempurna. Tapi kami jujur, realistik dan komited. Setiap cabaran diakui dan ditangani. Kejayaan hari ini bukan hadiah, ia hasil usaha dan kestabilan pentadbiran.
“Jika benar mereka ingin membela rakyat, buktikan dengan pelan konkrit, bukan sekadar skrip basi yang diulang-ulang. Kami menyeru ARMADA dan semua pihak agar lebih matang dalam berpolitik. Jangan kaburkan rakyat dengan persepsi palsu. Berpolitiklah dengan fakta, adab dan tanggungjawab,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap visi dan misi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menjayakan agenda Maju Johor.
“Kami penuh yakin dengan visi dan misi YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi dalam menerajui pentadbiran negeri Johor, serta komited untuk terus menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang maju, sejahtera dan berdaya saing.
“Johor Maju bukan retorik, ia dasar dan tindakan. Rakyat perlukan solusi, bukan sandiwara,” katanya lagi. – UMNO Online