Titah Adendum Perlu Dilaksana Segera, Pelihara Institusi Diraja – Rose Amalina

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Titah Adendum berkaitan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dilaksanakan segera demi memelihara maruah Institusi Diraja dan memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Rose Amalina Rosemin berkata, pengesahan rasmi Titah Adendum tersebut mengakhiri segala penafian dan keraguan sebelum ini.

“Puteri UMNO Wilayah Persekutuan menyuarakan kekesalan terhadap kegagalan pihak berkaitan untuk segera melaksanakan Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah disahkan kewujudannya oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan.

“Pengesahan rasmi ini sekaligus mengakhiri segala keraguan dan penafian sebelum ini. Lebih penting, ia mengesahkan bahawa titah tersebut datang daripada Yang di Pertuan Agong ke-16, satu institusi yang termaktub sebagai teras utama dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai suara wanita muda di Wilayah Persekutuan, Puteri UMNO menegaskan bahawa sikap mengelak atau menangguhkan pelaksanaan titah tersebut bukan sahaja tidak berperlembagaan, malah merupakan satu bentuk penghinaan kepada Institusi Raja yang menjadi payung kedaulatan negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa titah tersebut wajib dilaksanakan tanpa alasan dan kompromi kerana ia datang daripada Raja yang sah.

“Perlu ditegaskan bahawa ini bukan soal memberi keistimewaan kepada mana-mana individu. Ini soal prinsip menghormati kuasa Raja, menjunjung keluhuran undang-undang, serta memastikan keadilan tidak dipilih-pilih. Jika titah itu datang daripada Raja yang sah, maka ia wajib dilaksana tanpa alasan, tanpa kompromi.

“Puteri UMNO Wilayah juga mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab salah seorang ahli Parlimen yang mempertikaikan kewajaran Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah. Kenyataan seumpama ini bukan sahaja mengundang persepsi songsang, malah memperlekehkan kedudukan Institusi Raja dalam sistem perundangan negara.

“Puteri UMNO Wilayah Persekutuan berdiri teguh dalam menuntut agar Titah Adendum ini dilaksanakan dengan segera, demi memelihara maruah institusi diraja dan memastikan keadilan ditegakkan dengan seadil-adilnya,” katanya lagi.

Minggu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79