Sejak PRU Pertama UMNO Bentuk Kerjasama Bersama Parti Lain Depani Pilihan Raya – SUA
JITRA, 12 Julai – Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) yang pertama, UMNO tidak pernah berkeseorangan dan sentiasa bekerjasama dengan parti-parti lain dalam mendepani pilihan raya, ujar Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ujarnya, ia bermula dengan Perikatan yang dibentuk bersama MCA dan MIC, hinggalah kini atas nama Barisan Nasional (BN) yang pernah dianggotai berbelas parti baik dari Semenanjung hinggalah Sabah dan Sarawak.
“UMNO kini mewujudkan kerjasama bersama dengan rakan-rakan parti Kerajaan Perpaduan, ada 18 parti politik. Sejarah dulu kita ini memang tak pernah berkeseorangan. Daripada sejak awal UMNO berjuang dalam pilihan raya yang pertama.
“UMNO membentuk parti Perikatan, gabungan antara rakan-rakan kita yang terus setia dulu, kini dan selamanya adalah MCA dan MIC,” katanya.
UMNO juga tegasnya, akan tetap menggunakan lambang BN ketika bertanding dalam pilihan raya.
Dr Asyraf berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu di Dewan Seri Perdana, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Hasmuni Hassan, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu Datuk Aminuddin Omar, Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena Datuk Said Ali Syed Rastan selaku wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Ketua UMNO Bahagian Jerlun Datuk Othman Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah Datuk Muthalib Harun.
Selanjutnya ulas Dr Asyraf, walaupun bekerjasama dengan mana-mana pihak, prinsip perjuangan UMNO dalam menjaga kepentingan agama dan bangsa mesti menjadi teras dan asas dalam perkongsian kuasa.
Jelas Dr Asyraf, ketegasan UMNO berhubung menjaga kesucian agama Islam dapat dibuktikan sejak awal proses menuntut kemerdekaan.
“British beri syarat jika hendak merdeka, UMNO kena terima hakikat Tanah Melayu ini mesti dikongsikan dengan rakan-rakan daripada bangsa lain (prinsip ‘jus soli’). UMNO menulis surat kepada British dan Suruhanjaya yang diberikan mandat untuk membentuk perlembagaan negara iaitu Suruhanjaya Reid.
“Surat tersebut ada di dalam buku yang dikumpulkan oleh Prof Sham Rahayu terbitan Institut Terjemahan Negara yang dipanggil buku Kontrak Sosial. Dilampirkan surat asal daripada UMNO kepada Suruhanjaya Reid.
“Mesti maktubkan dalam perlembagaan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan. Ini nak menunjukkan bahawa siapa jua kerajaan, kena jaga dan pelihara Islam sebagai agama Persekutuan dan memberikan hak kepada kerajaan untuk membelanjakan bajet negara untuk setiap tahun untuk menjaga dan memelihara kedaulatan dan kesucian agama Islam,” katanya.
Tambahnya lagi, begitu juga perkara yang berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.
“Bangsa Melayu dan pribumi, orang-orang Asal, Sabah dan Sarawak mesti mempunyai hak dan keistimewaan. Itu yang termaktub di dalam Perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan). Tetapi kita tidak pernah nafikan hak bangsa-bangsa lain seperti Cina, India dan lain-lain.
“Kedudukan Raja-Raja Melayu. Perkara 82, Perkara 79, Perkara 42. Ini semua kuasa insitusi Raja-Raja Melayu. Kenapa kita satu-satunya parti yang memperjuangkan institusi Raja-Raja Melayu? Kerana insitusi ini sebagai pendinding kepada batu-batu asas yang menjadi pengikat kerukunan kepada bangsa dan pasak kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
“Kalau pasak-pasak ini digoncang atau diperlekeh, diremehkan maka negara pasti tidak akan stabil. Institusi ini akan menjadi penjaga kepada kedudukan Islam dan keistimewaan orang Melayu,” katanya. – UMNO ONLINE