UMNO Negeri Kelantan Gesa Titah Adendum Dilaksana Segera
KUALA LUMPUR, 14 Julai – UMNO Negeri Kelantan menggesa agar kerajaan melaksanakan Titah Adendum berkaitan isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan segera, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman.
Ini kerana katanya, kewujudan Titah Adendum tersebut telah diperakui dan disahkan oleh Jabatan Peguam Negara meskipun sebelum ini ia disifatkan sebagai ‘hearsay’.
“Alhamdulillah syukur ke hadrat kepada Allah SWT, kewujudan Titah Adendum telah diperakui dan disahkan oleh Jabatan Peguam Negara.
“Ini mengesahkan bahawa Titah Adendum bukanlah bersifat ‘hearsay’ seperti yang telah digembar-gemburkan dan telah menjadi polemik.
“Sewajarnya prosiding yang sedang berjalan ini dihentikan dan titah ini dilaksanakan dengan segera untuk menghormati kedaulatan kuasa mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar Titah Adendum tersebut memberikan keringanan dan keadilan kepada hukuman Najib.
“Justeru itu, Penerangan UMNO Negeri Kelantan menyeru agar kerajaan terutamanya Perdana Menteri dan Jabatan Penjara Malaysia mengambil tindakan segera untuk melaksanakan titah adendum ini.
“Semoga dengan terlaksananya titah adendum ini, memberi keringanan dan keadilan untuk Datuk Seri Najib.
“Penerangan UMNO Negeri Kelantan berdoa agar Datuk Seri Najib berada dalam keadaan sihat walafiat dan mendapat keadilan yang sudah lama tertangguh,” katanya.
Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UMNO Online