Dakwaan Kerajaan Perpaduan Pinggirkan Islam Adalah Tidak Benar – Ahmad Zahid

TANAH MERAH, 11 Julai – Dakwaan pihak lawan bahawa Kerajaan Perpaduan meminggirkan agama Islam ketika mentadbir adalah tidak benar sekali, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan adalah untuk memperkukuhkan agama Islam melalui pelbagai inisiatif.

“Jangan khuatir dengan fitnah-fitnah kononnya UMNO/BN dan Kerajaan Perpaduan ini meminggirkan, tidak menyantuni serta merendahkan Islam. Program terbesar diadakan oleh Kerajaan Perpaduan ialah Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB). Adakah kerajaan mahu pinggirkan orang bukan Islam? Tidak. Saya dilantik sebagai Pengerusi KEB bersama bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

“Apa ada dalam kongres tersebut? Ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 1.0, tiada agenda perkasa bumiputera. Apabila Perdana Menteri arah saya tubuhkan semula KEB, ada 130 inisiatif. Adakah dengan ada 130 inisiatif ini kita ketepikan bangsa lain? Sunatullah telah tetapkan Malaysia ini masyarakat majmuk, maka tentunya ia tidak ketepikan lain-lain kaum.

“Kita sebagai sebuah negara majmuk dan tidak ketepikan kepentingan bangsa lain. Sebab UMNO/BN dan sebelum itu Perikatan Nasional (PN)… meskipun Perdana Menteri bertukar ganti, kita terus perjuangan Islam dan agenda Melayu. Kewujudan semua institusi ini untuk siapa? Untuk kesaksamaan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, di sini, sebentar tadi.

Jelasnya, UMNO/BN mengalami kekalahan pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) kerana masalah dalaman parti tidak disantuni dengan baik oleh para pemimpin dan akar umbi.

“Allah takdirkan kita kecundang dan kekalahan kita itu disebabkan oleh faktor dalaman. Faktor dalaman ganggu kita untuk melaksanakan segala agenda kita. Ketika Datuk Seri Najib Razak jadi Perdana Menteri, apa yang beliau tak lakukan untuk seluruh negara dan kepimpinan UMNO setiap peringkat? Ketika itu Allah berikan rezeki melimpah ruah, jentera tersusun rapi.. tetapi kita tak santuni masalah dalaman ketika itu. Kita anggap ‘business as usual’.

“Apabila fitnah dan kebatilan tersusun dibuat untuk jatuhkan kita, akhirnya hak itu kalah dan batil itu menang. Mulai sekarang kita sebagai pejuang mesti menyusun hak dengan lebih baik untuk menolak yang batil. Ini kerana dah nampak mereka (PN) ibarat retak menanti belah. Beberapa buah negeri telah diberikan tetapi mereka tak lakukan lebih daripada apa yang mereka janjikan. Malah tidak dipenuhi kerana tidak ada roh untuk memberikan kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Air yang keruh bertambah keruh, masalah banjir… mereka perlukan bantuan kerajaan pusat. Adakah Perdana Menteri tidak berikan peruntukan? Adakah mereka berterima kasih? Cukuplah saya meminta jentera yang ada di hadapan saya agar kita bangkit pertahankan hak agar ia memberi kemenangan kepada kita,” katanya lagi.

Ujarnya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan agama Islam dapat dibela dan diperkasakan.

“Apa yang kita pinggirkan soal Islam? Bagaimana KEMAS ada 10,000 tabika pra tahfiz? Kita ajar anak-anak kenal Al-Quran pada awal usia. Begitu juga maahad tahfiz, ada 1,999 berdaftar tetapi lebih 1,250 pula tidak berdaftar. Ke mana huffaz-huffaz ini mahu pergi?

“Saya tak mahu sentuh tentang Kerajaan Negeri tetapi Perdana Menteri beri tanggungjawab untuk beri pendidikan TVET kepada anak-anak huffaz ini demi masa depan. Lihat UniKL di bawah MARA, pelajar-pelajar aeroangkasa yang hafal al-Quran ini sangat fokus, memahami dan berdisiplin.

“Adakah salah rancangan kerajaan ini? Allah takdirkan hanya dengan 30 kerusi kita jadi sebahagian kerajaan. Saya ambil peluang ini untuk terus melihat cita-cita Datuk Seri Najib dilaksanakan. Adakah ini meminggirkan Islam? Ini semua jawapan untuk mereka yang menentang kita. Ini fitnah.. mana ada agenda Islam dipinggirkan?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beliau menyeru para pemimpin dan akar umbi untuk bangkit dan menebus kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.

“Ini masa baik untuk kita terus susun jentera… apabila rakyat rindukan kita dan agenda kita berjalan dengan baik. Saya sebenarnya bersyukur dan berbangga. Jika inilah semangat yang diperlihatkan, Insya-Allah memang ada masa depan UMNO di seluruh negara. Dengan syarat kita istiqamah, eratkan penyatuan di kalangan kita dan ketepikan masalah-masalah lalu.

“UMNO bukan parti bermusim dan raih kekayaan untuk diri sendiri. Semua ini dilakukan untuk rakyat. Kadang-kadanh kita tahan dengan ujian kalah, tetapi kalah sebab nikmat. Kita telah kecundang, bangkitlah untuk tebus kekalahan itu kerana tiada orang lain yang boleh bantu.

“Dalam pemerhatian saya lihat rakyat amat rindu kepada UMNO/BN. Rakyat amat sayang UMNO/BN semula. Saya harap perasaan saya tidak salah. Di Tanah Merah, kerinduan akan terubat kalau kita menang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79