Kekhilafan Bukan Alasan Hukum, Memaafkan Tanda Kekuatan Teruskan Perjuangan – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Sebagai ahli UMNO, seharusnya mendukung keputusan pucuk pimpinan, bukan membesar-besarkan sedikit kekhilafan.

Exco Wanita UMNO, Dr Masliha Harun berkata, menjadi Presiden parti bukan satu tugas mudah, kadangkala ucapannya dalam majlis tertutup sesama ahli parti bersifat santai, beremosi, atau berseloroh. Ia tidak wajar ditafsir sebagai penghinaan atau kesombongan.

“Belajarlah membezakan… meminta maaf dan memaafkan adalah amalan mulia, jelas menandakan kekuatan dan bukannya kelemahan.

“Jangan terlalu taksub untuk menentang. Jangan kerana satu dua kesilapan, kita terus menghukum, membenci dan enggan mengenali.

“Kita semua manusia, tidak ada yang sempurna. Setiap orang pasti pernah melakukan kesalahan dan kekhilafan. Namun, sifat meminta maaf itu adalah sifat yang mencerminkan jiwa besar, terutama bagi seorang pemimpin negara, seorang melayu dan seorang Islam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ujarnya, pada mereka yang terlalu membenci dan gemar memutarbelitkan berita, pertimbangkan beberapa fakta asas kerana ini bukan soal ‘menjilat’, ini soal fakta untuk mereka yang belum benar-benar mengenalinya.

Mengulas lanjut, Dr Masliha memberikan beberapa fakta bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mempertahankan parti ini ketika didesak oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ketika Tun Mahathir mendesak agar UMNO dibubarkan, adakah Presiden UMNO tunduk? Kalau beliau gilakan jawatan atau tamak, sudah tentu beliau bubarkan sahaja UMNO ketika itu. Bayangkan, di mana kita (UMNO) sekarang jika itu berlaku.

“Ketika Malaysia tidak mempunyai kerajaan selama beberapa hari, adakah UMNO lepas tangan? Kita tahu jika tiada campur tangan, rakyat akan ditindas. Pada masa yang sama, Perikatan Nasional (PN) pula dengan angkuhnya menolak titah Yang di Pertuan Agong (YDPA) atau bagi sesetengah seperti yang tersiar di media sosial.

“Zaman PN adalah ketika pemimpin-pemimpin UMNO dipenjara dan dihina sehina-hinanya. Tetapi adakah Ahmad Zahid mengalah atau menyerah… sudah pasti tidak,” katanya lagi.

Tambah beliau, ucapan Ahmad Zahid yang menegaskan sumpah untuk tidak bergabung sering kali diulang-ulang.

“Sumpah untuk tidak bekerjasama dengan PH, Pas atau Bersatu dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU), dan ucapan beliau (Ahmad Zahid) kerap diulang berkali-kali. Kita masuk PRU secara solo dan tidak bergabung dengan mana-mana pihak, termasuk Bersatu dan Pas. Itu membuktikan bahawa Ahmad Zahid menepati kata-katanya.

“Kita tumbang bukan kerana janji dimungkiri, tapi kerana berpecah. Maka belajarlah dari sejarah. Jangan ulang kesilapan terutama apabila pihak lawan bersungguh-sungguh mahu kita solo sekali lagi demi melihat kita rebah,” katanya lagi.

Seterusnya kata Dr Masliha lagi, sekiranya Datuk Seri Najib Razak atau lebih dikenali sebagai ‘Bossku’ dibebaskan daripada segala pertuduhan, ia bukanlah hasil perjuangan PN, tetapi usaha konsisten UMNO yang tidak pernah mengenal erti penat lelah.

“Jika kes ‘Bossku’ terbukti tidak bersalah dan beliau dibebaskan, itu bukan jasa PN, tetapi usaha UMNO yang tidak pernah berhenti berjuang. Ahmad Zahid sendiri terbukti sahabat yang setia. Siapa kita untuk menafikan perjuangan dan jasa beliau.

“Ahmad Zahid menaungi lebih 70 Maahad Tahfiz, dan langkahnya diiringi doa anak-anak yatim, para huffaz, dan pelajar yang beliau bantu. Mungkin kita tidak nampak kerana kita terlalu membenci. Tapi hakikatnya, sesiapa pun jadi Presiden UMNO, tetap akan diserang untuk melemahkan parti,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79