Tragedi Tenghilan: Noraini Idris Seru Tindakan Serius Tangani Isu Kesihatan Mental

TUARAN, 8 Julai – Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris, melahirkan rasa dukacita dan kesedihan mendalam susulan insiden tragik yang meragut nyawa seorang guru wanita berusia 41 tahun di Tenghilan, baru-baru ini yang difahamkan diserang oleh abang kandungnya sendiri ekoran dipercayai mempunyai sejarah masalah kesihatan mental.

Noraini dalam satu kenyataan berkata, kejadian menyayat hati itu bukan sahaja mengejutkan masyarakat, malah membuka mata semua pihak tentang kepentingan menangani isu kesihatan mental secara serius dan menyeluruh.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka terus tabah menghadapi ujian berat ini. Tragedi ini harus menjadi titik tolak kepada peningkatan literasi kesihatan mental dalam masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, kejadian tersebut jelas menunjukkan bahawa penyakit mental yang tidak dirawat dengan betul boleh membawa kepada implikasi keselamatan awam, bahkan mengorbankan nyawa insan tidak berdosa.

“Insiden sedemikian, yang menyentuh keselamatan dan kesejahteraan awam, adalah petanda jelas bahawa literasi mental dalam kalangan masyarakat harus segera dipertingkatkan supaya masalah psikologi tidak berlarutan tanpa rawatan sewajarnya, dan tidak pula berakhir dalam tragedi yang meragut nyawa insan tidak berdosa.

“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri Sabah, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, perlu memberikan perhatian lebih serius terhadap penyediaan rawatan mental yang lebih menyeluruh, mudah diakses dan bersifat inklusif.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada fasiliti sedia ada tanpa penambahbaikan yang mampan.”

Antara langkah penting yang disarankan termasuk menaik taraf kemudahan di Hospital Mesra Bukit Padang, menambah bilangan pakar psikiatri serta meningkatkan kapasiti penempatan pesakit.

Beliau turut mencadangkan pembinaan pusat komuniti sokongan mental di setiap daerah sebagai pusat saringan awal, tempat kaunseling keluarga dan rujukan kes ke hospital pakar.

Noraini turut menyeru agar pendidikan kesihatan mental diperluaskan di sekolah, tempat kerja dan komuniti agar rakyat lebih peka terhadap tanda-tanda awal penyakit mental dan tidak malu mendapatkan rawatan profesional.

“Selain rawatan di hospital, pemantauan sistematik terhadap pesakit mental yang telah pulang ke rumah juga perlu diperkasakan. Kerjasama antara hospital, keluarga dan pihak berkuasa tempatan sangat penting dalam menangani risiko secara berkesan dan berhemah,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa isu kesihatan mental tidak mengenal kaum, agama atau kedudukan sosial, justeru memerlukan penglibatan menyeluruh daripada seluruh lapisan masyarakat.

“Pesakit mental memerlukan rawatan, bukan sekadar simpati. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk saling menyokong dan membina sistem yang lebih prihatin terhadap cabaran kesihatan mental.”

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus menyokong sebarang usaha yang memperkukuh mutu perkhidmatan kesihatan mental di Sabah demi kesejahteraan rakyat secara holistik.

“Kesihatan rakyat, baik dari segi jasmani mahupun rohani adalah keutamaan yang tidak wajar dikompromi oleh mana-mana pihak,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79