Kerajaan Madani Komited Perkukuh Sistem Keadilan Mesra Kanak-Kanak – Azalina

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Kerajaan Madani komited untuk memperkukuhkan sistem keadilan yang lebih mesra kanak-kanak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azalina memaklumkan beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Garis Panduan Khas Pengendalian Kes Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, di Bangunan Parlimen pada Isnin.

“Seiring dengan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh sistem keadilan yang lebih mesra kanak-kanak, bersepadu dan responsif… selaras dengan matlamat reformasi undang-undang dan institusi negara, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Garis Panduan Khas Pengendalian Kes Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, di Bangunan Parlimen pada Isnin.

“Mesyuarat yang menghimpunkan pelbagai wakil kementerian, jabatan kerajaan, agensi penguatkuasaan dan organisasi masyarakat sivil ini menjadi platform penting untuk memuktamadkan penambahbaikan kepada Garis Panduan Khas 2025, selaras dengan pindaan terkini kepada Akta 792 dan Akta 676,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, Draf Garis Panduan Khas yang dipertingkatkan turut dibentangkan pada mesyuarat tersebut.

”Mesyuarat telah diberi taklimat berhubung dapatan daripada Laporan Kajian UNICEF dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU,JPM) yang mengetengahkan cabaran sistemik dalam pengendalian kes penderaan seksual kanak-kanak serta cadangan reformasi yang memerlukan gabungan usaha semua pihak.

“Turut dibentangkan ialah Draf Garis Panduan Khas yang dipertingkat, yang memperkenalkan pendekatan peka trauma, penambahbaikan dalam prosedur siasatan dan pendakwaan, serta penekanan terhadap kerjasama rentas agensi demi perlindungan menyeluruh kepada mangsa kanak-kanak.

“Turut hadir adalah Datuk Zamri bin Misman, Ketua Pengarah BHEUU, JPM, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Akademi Perundangan Negara serta beberapa pihak berkepentingan termasuklah UNICEF dan Kemban Kolektif,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79