Hina Orang Asli… Ramli Gesa PDRM, SKMM Ambil Tindakan Tanpa Kompromi

CAMERON HIGHLANDS, 26 Jun – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memuat naik kenyataan jelik dan berunsur menghina Orang Asli di laman sosial.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata, satu laporan polis telah dibuat terhadap seorang pengguna Facebook di atas ketelanjuran memuat naik komen sedemikian.

“Baru-baru ini, saya dimaklumkan bahawa terdapat satu laporan polis telah dibuat oleh Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Senoi Prak, Bidor, iaitu Bah Bi Bah Kerundang, bertarikh 23 Jun 2025. Ia berhubung seorang pengguna Facebook yang memuat naik kenyataan jelek berunsur menghina kepada saya… terutama sekali kepada masyarakat orang asli di seluruh semenanjung Malaysia.

“Dia telah menyatakan bahawa saya adalah seorang sakai dan menyamakan seperti seorang tarzan. Perkataan ‘sakai’ ini sensitif untuk masyarakat Orang Asli di negara ini. Jika dilihat sebelum ini juga ada kes-kes penghinaan kepada masyarakat Orang Asli di negara ini.

“Dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 6 (1) telah menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi ataupun hamba. Ini bermaksud Perlembagaan secara jelas melarang perhambaan dalam bentuk apa pun di negara ini.

“Kita sebagai rakyat Malaysia tidak ada hak untuk melabel atau menyatakan seseorang itu sebagai hamba. Jika dilihat di dalam kamus bahasa Melayu, sakai ini bermaksud orang bawahan ataupun hamba,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.

Ujarnya, seluruh rakyat Malaysia perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain untuk menjaga keharmonian masyarakat.

“Dalam Perkara Sepuluh Perlembagaan Malaysia memberi hak bebas bersuara untuk rakyat Malaysia, tetapi kebebasan bersuara ini ada hadnya, berlandaskan perundangan dan budi pekerti seorang manusia. Hormat-menghormati sesama rakyat dan manusia adalah amat penting demi menjaga keharmonian masyarakat kita di Malaysia ini.

“Di sini saya ingin tekankan kepada seluruh masyarakat di negara ini agar tidak memuat naik kenyataan jelek berunsur menghina kepada masyarakat Orang Asli di negara ini. Hal seperti ini bukanlah pertama kali berlaku. Jika dilihat sebelum-sebelum ini juga ada kes-kes penghinaan kepada masyarakat Orang Asli di negara ini.

“Kita sebagai rakyat Malaysia berbilang kaum, seharusnya berhati-hati dalam setiap perbualan dan perkataan bagi mengelak sentimen perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan di dalam negara ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa semua rakyat di negara ini bertanggungjawab untuk menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum dalam segala aspek.

“Semua rakyat di negara ini bertanggungjawab menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum, terutamanya yang berkaitan dengan aspek agama, budaya, Raja-raja, dan apa yang kita nyatakan.

“Oleh itu, saya menyeru agar PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan siasatan dan mengambil tindakan segera tanpa kompromi terhadap mana-mana individu di negara ini yang menghina masyarakat Orang Asli agar perkara sebegini tidak berulang lagi,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79