Agensi, Anak Syarikat KKDW Wajib Jana Keuntungan – Ahmad Zahid
KOTA KINABALU, 24 Jun – Semua agensi serta anak syarikat di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diwajibkan menjana keuntungan sebagai pencetus perubahan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata agensi serta anak syarikat berkenaan disasarkan membuat keuntungan dalam tempoh setahun manakala anak syarikat yang gagal berbuat demikian boleh dipertimbangkan untuk pelaksanaan management byout atau ditutup.
“Kita mesti melakukan sesuatu yang luar biasa dalam keadaan biasa. Saya bukan hanya mengeluarkan arahan tetapi saya turun padang, turun ke bawah dan memberi beberapa panduan untuk mereka.
“Kita akan lihat petunjuk prestasi utama (KPI) tercapai atau tidak. Jika tidak tercapai, kenapa? Dan kalau tercapai kita mesti pertingkatkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Program Pemerkasaan Wanita Sabah dianjurkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan dihadiri lebih 1,000 usahawan wanita di seluruh negeri dengan pelbagai pengisian termasuk sesi padanan perniagaan dan bimbingan secara langsung bersama agensi berkaitan.
Ahmad Zahid berkata KKDW melaksanakan permukiman dua kali setahun melibatkan pengurusan tertinggi serta pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan bagi mengetengahkan idea baharu yang berpotensi menjadi pencetus perubahan ke arah mentrasformasi sistem penyampaian perkhidmatan agar lebih berkesan serta menepati keperluan kumpulan sasar.
Beliau berkata permukiman itu juga adalah pendekatan terbaik untuk memperkasakan libat urus dalam kalangan pegawai kementerian yang turut menunjukkan komitmen tinggi dalam menyokong setiap idea pencetus perubahan yang diperkenalkan.
“Jika ini dapat dibuat di semua kementerian lain, saya fikir penyantunan kepada keperluan dan cita rasa rakyat dapat dilakukan. Kita yakin sebarang rasa ketidakpuasan hati boleh diatasi bukan hanya dengan penjelasan tetapi dengan melakukan program boleh dirasai rakyat.
“Kita mesti menunjukkan faktor wow kepada kumpulan sasaran kita mengikut segmen,” katanya.
Mengenai program berkenaan, Ahmad Zahid berkata ia merupakan usaha signifikan untuk memperkukuh potensi dan bakat wanita dalam bidang keusahawanan selain mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan kapasiti serta daya saing usahawan wanita di negeri itu.
Beliau berkata program itu juga menjadi medan strategik untuk membina jaringan niaga, berkongsi ilmu dan memperkukuh kefahaman terhadap ekosistem keusahawanan MARA, malah menjadi ruang kepada usahawan baharu mendapat latihan, bimbingan serta kemudahan pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan.
“Wanita Sabah mempunyai potensi luar biasa untuk meniadi tonggak utama dalam menjana pertumbuhan ekonomi desa dan negara. Justeru, saya berharap MARA akan terus memainkan peranan penting sebagai agensi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai usahawan wanita kompeten, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran perniagaan masa kini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata Kerajaan MADANI sentiasa memberi komitmen tinggi dalam memperkasakan wanita melalui pendekatan menyeluruh merangkumi akses pembiayaan, bimbingan intensif serta sokongan pasaran inklusif dan mampan.
Menurutnya, inisiatif program itu selari dengan agenda pembangunan kapasiti usahawan wanita yang dilaksanakan MARA di pelbagai peringkat melibatkan 60 lokasi Parlimen di seluruh negara. – BERNAMA