Tun M, Janganlah Terus Bernostalgia… Kakistokrasi Itu Naratif Baharu – Khaled
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengharapkan Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi berterusan hidup dalam bernostalgia.
Menurut Khaled, Tun Mahathir dalam blognya mengatakan kerjasama UMNO dan PAS adalah bermasalah atas faktor cerita politik lama tentang naratif PAS mengkafirkan UMNO serta Amanat Haji Hadi.
Begitu juga Tun Mahathir menganggap kerjasama antara kedua-dua parti tersebut akan menghalalkan jenayah yang dilakukan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan mengembalikan bekas PM itu sebagai seorang pemimpin politik semula.
“Pertama, usahlah bernostalgia mengenai perkara lama. Soal sembahyang dua imam, kafir mengkafir dan pelbagai lagi tuduhan terhadap PAS adalah cerita lama yang diulang-ulang tanpa sudah. Sedangkan perkara tersebut tidak lagi berlaku dalam Malaysia pasca moden.
“Nampaknya itu sahaja naratif Tun Mahathir untuk PAS. Sedarlah Tun, orang Melayu telah lama melupakan naratif tersebut. PAS telah lama menjadi parti Islam yang
‘sophisticated’.
“Dengan slogan ‘Islam Untuk Semua’ dan ‘Membangun Bersama Islam’, PAS telah menjadi pergerakan politik yang dihormati. Jika tidak, masakan Dap dan PKR pernah bersekutu dengan PAS. Dan Tun sendiri, sebelum pilihan raya lepas, bermati-matian cuba mendapatkan kerjasama PAS menentang Barisan Nasional (BN),” tegas Khaled dalam satu kenyataan.
Sesuatu yang Tun Mahathir tidak sedari tambah Khaled, cercaan PM ketujuh itu kepada PAS telah membuakkan rasa tidak senang pelbagai pihak kerana ia sangat merugikan umat Melayu – Islam khususnya.
“Sifat tertutup, dan tidak besar hati pimpinan Tun telah memecah-belahkan umat Melayu dalam pelbagai kelompok selama ini,” bidasnya lagi.
Begitu juga naratif Tun Mahathir mengenai Najib dan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Khaled.
“Kedua, sudah tiba masanya untuk Tun duduk dan merenung situasi politik sekarang. Janganlah nama Najib menjadi ratib zikir Tun pada usia sebegini.
“Naratif ‘1MDB’ ‘kecurian’ mahupun ‘kleptokrasi’ sudah muak didengari rakyat, tatkala kos sara hidup, gaji, perumahan kos rendah dan insentif-insentif pro-kebajikan untuk mereka sama ada tidak beransur naik, sudah dihapuskan atau berkurangan.
“Ya, awam akui tindakan mahkamah telah dimulakan. Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan sistem kehakiman untuk menentukannya. Sehingga sesuatu itu terbukti salah, maka kita tidak boleh sepenuhnya menghukum secara total. Bukankah itu ‘rule of law’ yang Tun selalu pekikkan?,” soalnya.
Sewajarnya Tun Mahathir harus sedar kini wujud naratif baharu mengenai kerajaan Pakatan Harapan (PH), tambah bekas Menteri Besar Johor itu.
“Sudah wujud naratif baru yang sedang menggantikan ‘kleptokrasi’, iaitu kerajaan ‘kakistokrasi’ pimpinan Tun M yang merugikan rakyat marginal dan menguntungkan kroni kapitalis semata-mata,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu, Khaled tetap yakin kerjasama UMNO PAS adalah demi watan yang akan menjadi ketumbukan politik, bakal mengubah landskap berpolitik dan bernegara.
“Ia akan menyatukan orang Melayu pada tahap yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.
“Ingatlah peringatan Allah, “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali mereka yang beramal soleh dan melakukan kebaikan”.
“UMNO dan PAS tidak ingin lagi membuang masa dengan bercakaran tanpa henti. Telah tiba masanya melakukan kebaikan dan amal soleh untuk bangsa dan tanah air melalui kerjasama politik,” katanya.
Khaled turut memperingatkan kepada Pengerusi PH itu bahawa urusan kerjasama UMNO dan PAS adalah urusan antara kedua parti terbesar orang Melayu itu.
“Biarkanlah kami mengurusnya. Sama ada ia akan berjaya atau sebaliknya, terpulanglah kepada ikhtiar kami.
“Kami doakan yang terbaik jua untuk Tun dengan jalan bersama Dap yang telah Tun pilih dan dukung,” ujarnya lagi. – MediaUMNO