PTG Johor Dinaik Taraf: Kapasiti Urus Hak Milik Strata Meningkat Lima Kali Ganda
JOHOR BAHRU, 18 Jun – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa kerja-kerja penaiktarafan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Julai 2025.
Ujarnya, penambahbaikan menyeluruh ini melibatkan pelbagai aspek infrastruktur dan operasi termasuk penambahan 12 unit kaunter baharu khusus bagi urusan hak milik strata serta pewujudan 54 jawatan baharu yang merangkumi pegawai pendaftar, kerani kaunter dan kerani sistem.
“Langkah ini membolehkan keupayaan pemprosesan urusan hak milik strata meningkat daripada 120 folder sehari kepada 600 folder sehari, sekaligus mempercepatkan penyampaian dan mengurangkan tunggakan kerja yang sebelum ini membebankan rakyat,” ujar beliau dalam hantaran melalui laman Facebooknya.
Katanya, turut dilaksanakan ialah penambahbaikan proses kerja bagi mempercepatkan kelulusan dan pendaftaran urusan tanah dengan tempoh pemprosesan permohonan oleh kepentingan asing dipendekkan daripada 70 hari kepada 21 hari, manakala urusan tempatan, sama ada urus niaga atau bukan urus niaga dipendekkan daripada 14 hari kepada hanya tujuh hari.
“Kerajaan Negeri juga memberi perhatian kepada penggunaan teknologi dalam sistem tanah negeri, termasuk, pertama, peruntukan RM1.55 juta untuk naik taraf Portal Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) merangkumi e-serahan, e-carian, dan e-consent. Carian persendirian atas talian hak milik strata telah tersedia dan bakal diperluas kepada hak milik ‘landed’.
“Kedua, peruntukan RM500,000 untuk pembangunan sistem e-SBKS yang mempercepatkan urusan SBKS, ubah syarat, pecah sempadan, dan pindah milik. Tempoh permohonan SBKS kini dipendekkan daripada 510 hari kepada hanya 53 hari. Sistem ini dijangka dilancarkan kepada umum pada September ini.”
Jelasnya, bagi menampung keperluan kos operasi hasil daripada pelbagai penaiktarafan tersebut, Kerajaan Negeri mencadangkan peningkatan Fi Levi Kelulusan Perolehan Hartanah oleh Kepentingan Asing daripada 2% (minimum RM20,000) kepada 3% (minimum RM30,000).
“Selain itu, cadangan peningkatan juga melibatkan bayaran pendaftaran urus niaga pindahmilik tanah bagi hartanah melebihi RM500,000 dan ke atas dengan tambahan RM500 bagi setiap tambahan nilaian hartanah RM100,000. Cadangan ini juga telah melalui sesi libat urus dan perbincangan antara PTG Johor bersama REHDA Johor dan Johore Bar Committee.
“Sejak tahun 2014, kadar levi bagi kelulusan perolehan hartanah oleh kepentingan asing telah dikuatkuasakan dan sehingga kini belum pernah disemak semula.
Begitu juga dengan kadar bayaran pendaftaran bagi urus niaga pindah milik tanah yang masih mengikut Jadual JPU94, yang telah digunakan sejak tahun 2004 tanpa sebarang pelarasan.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, telus dan responsif terhadap keperluan rakyat,” kata Onn Hafiz.
Beliau berharap penambahbaikan menyeluruh ini akan melancarkan urusan tanah rakyat, mempercepatkan kelulusan, dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sistem penyampaian awam di Negeri Johor. – UMNO Online