UMNO Perlu Tawan Kembali Sokongan Rakyat, Raih Undi Di Kawasan Bandar – Adzly Manas
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, UMNO berdepan dengan penolakan yang nyata di kawasan bandar dan separa bandar.
Pengamal Undang-undang, Adzly Ab Manas berpandangan, ‘trend’ ini semakin ketara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15,iaitu UMNO telah tewas di banyak kerusi Parlimen yang melibatkan kawasan majoriti penduduk bandar, pengundi muda, dan kelompok profesional.
Katanya, apa yang jelas, UMNO tidak boleh mengharapkan nostalgia semata-mata, sebaliknya parti perlu melalui transformasi berani dan menyeluruh untuk mendekati semula rakyat bandar yang semakin kritikal, celik maklumat dan tinggi harapan terhadap kualiti kepimpinan.
“Transformasi yang diperlukan bukan bermaksud UMNO perlu meninggalkan perjuangan asalnya. Sebaliknya, harus menyesuaikan cara pendekatan dan mengutamakan penyelesaian kepada isu kehidupan sebenar rakyat bandar. Pengundi bandar mahu pemimpin yang bersih, berwibawa, dan mampu menjawab isu-isu semasa.
“Kos sara hidup yang tinggi, perumahan tidak mampu milik, kesesakan jalan raya dan sistem pengangkutan awam yang tidak efisien, kualiti pendidikan dan kesihatan awam yang merosot serta peluang pekerjaan yang terhad untuk anak muda.
“Transfomasi bukan satu pilihan. Ia satu keperluan dan UMNO tidak akan dapat memimpin semula negara, jika ia gagal memimpin perubahan dalam dirinya sendiri. Masa untuk dengar suara rakyat, masa untuk kembali kepada akar perjuangan dan masa untuk UMNO kembali memimpin dengan amanah, bukan kuasa semata-mata,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang UMNO Bahagian Sungai Buloh itu, UMNO perlu mewujudkan pendekatan mikro lokal di kawasan bandar dan separa bandar.
“Gerak kerja politik boleh digerakkan di kawasan PPR dan flat kos rendah iaitu fokus kepada isu-isu rakyat seperti pembaikan lif rosak, penyelenggaraan longkang dan keselamatan komuniti.
“Di kawasan semi-bandar pula beri insentif untuk pekebun kecil bandar, program latihan kemahiran digital dan sokongan kepada usahawan muda. Pendekatan seperti ini akan menunjukkan UMNO bukan hanya faham masalah rakyat, malah bersedia menyelesaikannya secara konkrit,” jelasnya.
Beliau yang juga Peguam Hak Asasi Manusia menambah sebahagian besar pengundi bandar terdiri dari golongan muda yang lebih celik maklumat bersikap kritikal serta berani menolak calon-calon yang dianggap gagal memenuhi aspirasi mereka.
“Anak-anak muda lebih celik maklumat, kritikal, dan berani menolak calon yang mereka anggap gagal. UMNO perlu tampil dengan kontrak sosial baharu kepada generasi muda antaranya biasiswa dan latihan industri untuk anak muda bandar di universiti. Dana permulaan perniagaan digital. Peluang kepimpinan dalam parti dan GLC kepada profesional muda,” katanya lagi.
Ujarnya, jika UMNO benar-benar serius untuk kembali diterima di kawasan bandar dan separa bandar, maka parti ini mesti memulakan perubahan sekarang, bukan menjelang pilihan raya dan juga bukan selepas kekalahan.
Pada masa yang sama kata Adzly lagi, UMNO perlu menerima hakikat bahawa perang politik hari ini tidak lagi berlaku hanya di ceramah dan dewan. Ia berlaku di skrin telefon pintar, di media sosial dan dalam aplikasi komunikasi seperti TikTok, Instagram, Facebook, WhatsApp dan YouTube.
“UMNO wajib melabur dalam pasukan komunikasi digital yang cekap, pantas dan kreatif untuk menjawab isu-isu semasa, menyampaikan dasar parti dengan bahasa mudah difahami dan membina naratif positif tentang UMNO dan calon-calon muda,” ujarnya lagi. – UMNO Online