Sekretariat Orang Melayu… Retorik Ulangan Episod Politik Lama – Mohd Asna
LENGGENG, 6 Jun – Penubuhan Sekretariat Orang Melayu yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dianggap sebagai satu lagi cubaan mengulangi pendekatan lama yang pernah dilalui dalam politik Melayu, namun kali ini dengan nama yang berbeza dan hala tuju yang dipersoalkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, gagasan menyatukan orang Melayu bukanlah perkara baharu memandangkan ia telah lama diusahakan dan dibuktikan keberkesanannya melalui kewujudan UMNO.
“UMNO bukan sahaja mempelopori kemerdekaan negara bersama parti-parti lain, malah menjadi tunjang pemerintahan lebih enam dekad. Hak dan kepentingan Melayu dipertahan melalui peranan UMNO dalam kerajaan serta Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.
Menurut beliau, penubuhan Sekretariat Orang Melayu lebih dilihat sebagai reaksi politik peribadi berbanding gerakan akar umbi yang benar-benar memperjuangkan kepentingan Melayu.
Mengulas kenyataan Tun Mahathir yang membidas kewujudan banyak kumpulan pro-Melayu sebagai punca perpecahan, Mohd Asna menyifatkan kenyataan itu sebagai ironik memandangkan bekas Perdana Menteri itu sendiri pernah meninggalkan UMNO, menubuhkan beberapa parti baharu, dan terlibat dalam percaturan politik yang didakwa meretakkan lagi kesatuan Melayu.
“Jika benar ikhlas mahu menyatukan orang Melayu, mengapa tidak memperkukuh institusi yang telah kukuh seperti UMNO, sebaliknya menambah satu lagi entiti baharu?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan Sekretariat Orang Melayu yang dikatakan akan berperanan sebagai wadah rentas parti.
“Dalam politik, kuasa perlu berasaskan struktur dan legitimasi. Tanpa asas parti politik, sekretariat ini akan kekal sebagai platform retorik semata-mata, tanpa keupayaan melaksana dasar atau mewakili orang Melayu secara institusi,” jelasnya.
Mohd Asna juga menolak tuduhan bahawa kerajaan hari ini menyekat perbincangan isu-isu Melayu, menyatakan bahawa ruang perbahasan masih terbuka selagi ia berlaku dalam kerangka undang-undang dan menjaga keharmonian masyarakat majmuk.
Beliau juga menyeru agar sebarang usaha menyatukan orang Melayu dilakukan melalui pengukuhan institusi sedia ada yang sah dan berkesan, bukannya melalui entiti baharu yang berisiko mengulangi perpecahan lalu. – UMNO Online