“Radu Tetap Radu” Di DUN Bandau, Tanda Kesungguhan UMNO Pertahankan Hak Rakyat

KOTA MARUDU, 3 Jun – UMNO Bahagian Kota Marudu telah melancarkan program “Radu Tetap Radu” di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau sebagai satu inisiatif memperkukuhkan gerak kerja akar umbi dan meningkatkan kesiapsiagaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata bahawa program ini bukan sekadar satu pelancaran biasa, sebaliknya satu lambang kebangkitan semangat perjuangan parti.

“’Radu Tetap Radu’ bukan hanya sekadar laungan tetapi ia adalah lambang keteguhan prinsip perjuangan UMNO. Kita berdiri teguh meskipun diuji oleh zaman. Perjuangan kita tetap demi rakyat Bandau dan seluruh Sabah,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Usukan turut menyeru agar seluruh jentera parti di peringkat cawangan menggiatkan usaha mendekati rakyat, khususnya pengundi muda dan golongan atas pagar.

“Jangan tunggu loceng pilihan raya baru mahu bergerak. Mulakan sekarang. Turun padang, dengar suara rakyat, bantu apa yang termampu,” tegas beliau.

Majlis pelancaran program tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Program “Radu Tetap Radu”, Datuk Yakubah Khan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Datuk Ismarah Madcasar; Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris; Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Junaidi Sahat; Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin, serta barisan kepimpinan UMNO bahagian, pergerakan Pemuda, Wanita, Puteri dan wakil-wakil masyarakat setempat.

Program ini menjadi simbol komitmen berterusan UMNO untuk terus memperjuangkan kebajikan dan hak rakyat, selaras dengan semangat “Radu Tetap Radu” yang dilaungkan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79