Penguatkuasaan Tong LPG Komersial, Azmawi Mohon Tangguh, Kaji Semula

GUA MUSANG, 4 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memohon kerajaan pusat menangguhkan dahulu penguatkuasaan tong Gas Petroleum Cecair (LPG) komersial ungu sehingga satu kajian semula di lapangan dan pindaan semula yang lebih realistik dengan keadaan semasa dibuat.

Menerusi satu kenyataan, Azmawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan berkata Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang ini telah berkuatkuasa pada 15 Oktober 2021 dibuat atas dasar untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang dinikmati oleh pengusaha restoran berskala besar.

“Saya merasakan kerajaan perlu menangguhkan dahulu penguatkuasaan penggunaan tong ungu terhadap pengusaha restoran, kedai makan dan penjaja kecil. Jika peraturan ini dipinda pada 2021 dahulu mungkin pembuat dasar pada ketika itu terlepas pandang dari sudut realiti yang dihadapi di bawah.

“Maka, kerajaan harus melihat semula peraturan ini supaya ia lebih realistik dan dapat mengekang kenaikan harga makanan di restoran kecil, gerai makan dan penjaja yang rata-rata terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah yang sedang berusaha untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Mengulas lanjut Azmawi juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, kebiasaanya peniaga restoran kecil akan menyediakan stok tambahan tong LPG agar operasi mereka tidak tergendala.

“Menjadi kebiasaan bagi peniaga restoran kecil selain dari LPG yang digunakan mereka juga terpaksa menyimpan bekalan LPG tambahan supaya operasi tidak tergendala.

“Jika terhad kepada tiga tong sahaja ia hanya cukup untuk diletakkan di tempat penyediaan makanan, minuman dan tempat memasak, bagaimana jika salah satu tong LPG ini habis. Sudah tentu menimbulkan kesukaran kepada mereka kerana mereka tidak boleh menyimpan lebih dari dari tiga tong,” jelasnya.

Azmawi harap agar penggunaan tong gas LPG 14 kg subsidi ini dapat dinaikkan kepada enam tong agar dapat memberi kelegaan kepada peniaga kecil.

“Penggunaan tong bersubsidi yang ditetapkan iaitu lebih 42 kg atau penggunaan lebih tiga tong gas LPG 14 kg perlu dikaji semula dan dinaikkan kepada enam tong gas pada satu-satu masa. Ini adalah kerana ia boleh memberi kelegaan kepada peniaga kecil untuk meneruskan perniagaan tanpa perlu menaikkan harga makanan,” ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan kerajaan tidak memansuhkan subsidi LPG sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu, malah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat terhadap dasar sebenar kerajaan.

Op Gasak bukan dasar baharu sebaliknya satu tindakan penguatkuasaan berasaskan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah dilaksanakan sejak pentadbiran terdahulu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79