ASEAN 2045: Rangka Masa Depan Rantau, Fokus Generasi Muda – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Mei – ASEAN 2045: Masa Depan Bersama dirangka sebagai satu hala tuju futuristik untuk menyusun masa depan rantau Asia Tenggara dalam tempoh dua dekad akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, dalam mendepani perubahan landskap geopolitik dunia, ASEAN perlu memperkukuh daya tahan serantau sebagai satu entiti yang bersatu serta menangani cabaran dalaman yang masih membelenggu sesetengah negara anggota ASEAN dengan semangat kebersamaan.

“ASEAN kini (menuju) kedudukan keempat dari segi keteguhan ekonomi global, namun kekuatan ini perlu diperkukuh melalui pelaksanaan program-program ekonomi yang bukan sakadar dalam kalangan negara anggota, tetapi sebagai satu blok serantau yang stabil.

“Jika masih ada negara yang berdepan isu dalaman, ia perlu ditangani dengan semangat kebersamaan ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ASEAN dengan jumlah populasi 680 juta penduduk, tumpuan harus diberikan terhadap pembangunan generasi muda, khususnya Generasi Z dan Generasi Alpha.

“Mereka ini aset masa depan rantau. Maka kita perlu merangka dasar dan ekosistem pendidikan baharu yang selari dengan keterbukaan sistem guna tenaga di seluruh negara ASEAN,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menekankan keperluan untuk dunia menerima sistem multipolar sebagai pendekatan yang lebih adil dan seimbang berbanding sistem unipolar yang dilihat sudah tidak relevan.

“Kita mahu dunia mengiktiraf bahawa unipolar tidak boleh lagi menjadi acuan, sebaliknya multipolar adalah pendekatan terbaik untuk memastikan ASEAN kekal sebagai rantau yang selamat dan stabil demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Berhubung peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Ahmad Zahid berkata, mandat yang diberikan membolehkan negara memainkan peranan aktif dalam usaha menyelesaikan isu krisis Myanmar.

“Beberapa perbincangan telah diadakan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin junta Myanmar. Kita juga telah melantik perunding untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai.

Pada hemat saya, keberadaan Malaysia sebagai pengerusi diterima baik dan akan mempermudahkan usaha ke arah penyelesaian,” katanya.

Deklarasi Kuala Lumpur 2045 yang dimeterai pada Isnin memperkukuh komitmen negara-negara ASEAN terhadap prinsip Piagam ASEAN, undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025, bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, menghimpunkan pemimpin negara anggota untuk membincangkan isu serantau serta merangka hala tuju blok itu pada masa depan. – Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79