ASEAN Dukung Perdagangan Global Berbilang Hala Walau Ditekan Tarif AS – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 25 Mei – ASEAN menegaskan pendirian untuk terus mendukung sistem perdagangan global berbilang hala berasaskan peraturan meskipun berdepan tekanan tarif daripada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ASEAN tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan balas terhadap langkah tarif yang diumumkan Amerika Syarikat (AS).

“Kami percaya kepada prinsip multilateralisme dan sistem perdagangan global berasaskan peraturan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai teras. Justeru, ASEAN tidak akan melaksanakan dasar tarif balas,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-25 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong.

Tengku Zafrul berkata, ASEAN kekal komited dalam mengadakan dialog bersama pentadbiran AS bagi menangani isu berkaitan secara konstruktif, sambil mengekalkan neutraliti rantau ini.

Dalam beberapa siri pertemuan sebelum ini termasuk dengan China, Jepun, Australia dan New Zealand, ASEAN menyatakan pendirian bersama mengenai cabaran tarif global dan kepentingan perpaduan serantau.

Beliau turut mengesahkan, ASEAN menyokong hubungan dua hala negara anggota dengan AS, namun menekankan perlunya memperkukuh suara bersama dalam kerangka ASEAN itu sendiri.

“Setiap negara adalah berdaulat dan berhak meneruskan rundingan dua hala. Namun, kita semua bersetuju pendirian neutral ASEAN dan menyokong prinsip multilateralisme,” katanya.

ASEAN memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan ekonomi dengan blok lain seperti Kesatuan Eropah (EU), Perkongsian Komprehensif dan Progresif bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Tengku Zafrul berkata, beberapa negara ASEAN turut melihat potensi untuk menyertai kumpulan ekonomi BRICS, dengan Indonesia sudahpun menjadi ahli blok itu.

“Kami percaya kerjasama dengan blok seperti EU dan BRICS boleh memacu pertumbuhan perdagangan dan pelaburan global, seterusnya akan menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya.

Beliau berkata, ASEAN juga menekankan keperluan untuk mempertingkat perdagangan dalam kalangan negara anggotanya, memandangkan kadar perdagangan intra-ASEAN ketika ini hanya sekitar 23 peratus.

Dalam konteks ekonomi serantau, Tengku Zafrul menjelaskan, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN bagi 2025 adalah sekitar 4.7 peratus, manakala inflasi diunjurkan sekitar tiga peratus.

“Pertumbuhan ini masih tinggi berbanding purata global. Ia dipacu oleh eksport yang kukuh dan perbelanjaan modal awam di negara-negara ekonomi besar ASEAN,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan, unjuran itu berdepan risiko penurunan disebabkan ketidaktentuan persekitaran global, termasuk semakan semula ramalan Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan WTO.

Sambil mengakui masih belum menetapkan sasaran baharu perdagangan intra-ASEAN, Tengku Zafrul berharap kesimpulan substantif Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) akan meningkatkan dagangan serantau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI yang juga Ketua Perundingan Tarif AS, Mastura Ahmad Mustafa menjawab pertanyaan mengenai isu barangan dalam transit, khususnya berkaitan perlindungan pasaran oleh sesetengah negara anggota ASEAN seperti Thailand.

Beliau menegaskan bahawa isu seperti itu akan ditangani oleh Jawatankuasa Koordinasi (CCA) di bawah perjanjian yang telah dinaik taraf dan ASEAN mempunyai disiplin bersama untuk tidak melaksanakan langkah yang boleh mencetuskan halangan bukan tarif sesama negara anggota.

“Perkara seperti pelaksanaan dan sekatan transit akan dibincang secara teknikal melalui saluran perjanjian sedia ada, termasuk jawatankuasa khusus,” katanya. – Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79