ADUN Kota Iskandar Harap Kesesakan Lalu Lintas Ada Penyelesaian Segera
ISKANDAR PUTERI, 23 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berharap soal kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan diberikan tumpuan dan dicari penyelesaian segera.
Menurut beliau kesesakan yang boleh dianggap kritikal khususnya di laluan utama dari Taman Pulai Indah ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta laluan dari kampung Ulu Pulai ke Gelang Patah.
“Kesesakan ini bukan sahaja menyusahkan penduduk tetapi juga mengganggu kelancaran mobiliti pekerja dan pelajar di kawasan tersebut. Sebagai contoh Jalan Taman Sri Pulai ke UTM di mana baru tiga bulan sudah rosak dan pecah semula.
“Dalam hal ini, Kota Iskandar berharap Jabatan Kerja Raya (JKR), bersama-sama pihak berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Iskandar Puteri agar dapat mengambil tindakan dengan segera. Ini termasuklah kajian semula segera laluan trafik, perlaksanaan sistem pengurusan trafik yang lebih efisien, penambahan lorong jalan serta pembinaan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, Khamis.
Pada masa yang sama beliau turut menyentuh isu pembangunan pangsapuri perkhidmatan atau ‘service apartment’.
“Kota Iskandar ingin menyentuh satu isu yang semakin menjadi perhatian masyarakat, khususnya di kawasan bandar utama seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang, iaitu berkaitan pembangunan pangsapuri perkhidmatan atau ‘service apartment’ yang kini berkembang pesat.
“Kita akui bahawa pembangunan ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi hartanah dan pelaburan luar, tetapi kita tidak boleh menutup mata terhadap beberapa kebimbangan serius yang telah timbul, yang sekiranya tidak ditangani dengan baik akan memberi kesan jangka panjang kepada kesejahteraan komuniti daya tahan bandar.
“Statistik semasa menunjukkan sebahagian besar unit pangsapuri perkhidmatan dimiliki oleh warga asing, khususnya pelabur luar negara yang menjadikan unit ini sebagai aset pelaburan. Namun, banyak unit ini akhirnya kekal kosong atau disewakan secara jangka pendek, tanpa kawalan yang memadai. Hal ini bukan sahaja menjejaskan semangat kejiranan, malah memberi kesan kepada keselamatan dan kualiti kehidupan penduduk tempatan,” ujarnya.
Katanya lagi lebih merisaukan, pihak PBT menghadapi kesukaran untuk mengutip cukai taksiran dan caj perkhidmatan, kerana pemilik unit berada di luar negara dan tidak responsif terhadap notis pembayaran.
“Pastinya keadaan ini memberi tekanan kepada kewangan PBT dan akhirnya menjejaskan pengurusan bangunan serta kemudahan bersama seperti lif, sistem lampu, pembetungan dan pengurusan sisa. Ini adalah satu perkembangan yang saya kira merisaukan khususnya di Iskandar Puteri yang sedang membangun sebagai bandar antarabangsa.
“Tambahan pula, pembangunan pangsapuri perkhidmatan tidak tertakluk kepada syarat penyediaan kemudahan awam seperti sekolah, masjid, balai raya, klinik atau tapak kubur. Hal ini bermakna kawasan tersebut tidak lengkap sebagai komuniti dan akhirnya penduduk sekeliling terpaksa menampung keperluan sosial mereka melalui fasiliti sedia ada yang sudah sedia padat.
“Keadaan ini menimbulkan pelbagai tekanan-kesesakan di sekolah awam, kekurangan ruang ibadah, serta bebanan kepada fasiliti kesihatan dan infrastruktur jalan raya. Jika dibiarkan. la akan mencetuskan ketidakseimbangan sosial yang merugikan negeri dalam jangka panjang,” tambahnya.
Beliau seterusnya mencadangkan agar dikenakan syarat keperluan khas kepada pemaju yang tidak menyediakan kemudahan awam serta kuota pemilikan minimum untuk rakyat tempatan. – UMNO Online