Gerak17: UMNO Tenom Tekad Tebus Kembali DUN Kemabong Dan Melalap
TENOM, 20 Mei – UMNO Bahagian Tenom tekad mahu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong dan juga Melalap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 nanti.
Ujar Ketuanya Datuk Raime Unggi, dengan kekuatan jentera yang ada di peringkat bahagian dan akar umbi, pihaknya telah bersedia mengembalikan kedua-dua kerusi tersebut kepada Barisan Nasional (BN).
“Selaku Ketua UMNO Bahagian Tenom bersama rakan-rakan barisan kepimpinan bahagian, wanita, pemuda dan puteri termasuk 78 cawangan di Kemabong dan 50 cawangan di Melalap, kami sudah bersedia.
“Dengan adanya kekuatan ini kita telah membentuk jentera dengan lebih bersemangat mahu menebus kembali DUN Kemabong. Begitu juga dengan DUN Melalap,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Gerak17 DUN N.43 Kemabong di Dewan Sri Ontoros, Kemabong, di sini baru-baru ini.
Tekad yang ditunjukkan oleh UMNO tersebut jelas mampu direalisasikan apabila ketika pelancaran Gerak17 itu, hampir lima ribu jentera hadir dengan semangat yang tinggi.
Majlis Pelancaran Gerak17 DUN N.43 Kemabong telah disempurnakan oleh Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan timbalannya Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Datuk Mohd Razlan Rafii; dan Datuk Yakub Khan serta barisan kepimpinan UMNO negeri dan bahagian.
Seterusnya, Raime juga optimis jika BN diberi peluang mentadbir di dua kawasan tersebut, sudah pasti masalah kemudahan asas terutama isu bekalan air bersih, elektrik dan infrastruktur dapat selesaikan dengan sebaiknya.
Berhubung perkara tersebut juga, untuk kepentingan rakyat di kawasan luar bandar ketika ini yang mendesak, Raime memohon kerajaan pusat agar dapat membaiki jalan pertanian di kebun-kebun getah, penyelarasan harga getah antara Sabah dan Semenanjung serta penubuhan GiatMARA di Kemabong.
Untuk rekod, pada PRN Ke-16 lalu, BN tewas di kedua-dua kawasan.
Dalam ucapannya juga, Raime turut membidas pihak yang memainkan slogan ‘Sabah for Sabah’ yang disifatkan sebagai sentimen yang lapuk.
“Sentimen yang digunakan oleh pemimpin lama dahulu. Anak-anak muda yang ada sekarang bukan mahu itu. Jangan menganggap kami orang UMNO orang Sabah sudah masuk Malaya.
“Ingat peristiwa Tanduo? Siapa yang mempertahankan tanah air kita? Kita ini rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Kita mesti pelihara keharmonian negara ini.
“Kita mesti sama-sama dapat membangunkan Kemabong ini. Bukti sudah jelas ketika di bawah zaman Bossku (Datuk Seri Najib Razak) banyak pembangunan di bawa ke sini,” ujarnya. – UMNO ONLINE