Malaysia Wajar Manfaatkan Kepengerusian ASEAN Bagi Tembusi Pasaran Halal – Ahmad Zahid
BUTTERWORTH, 12 Mei – Malaysia wajar memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 untuk mengembangkan pasaran produk halal sekali gus menembusi pasaran rantau itu yang mempunyal 600 juta penduduk.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun produk halal dari Indonesia dan Thailand dipasarkan di Malaysia namun barangan serupa negara ini tidak dapat memasuki pasaran ASEAN kerana usaha pemasaran yang dilakukan masih belum mencukupi.
“Oleh kerana 600 juta merupakan satu pasaran yang realitinya besar untuk produk-produk halal Malaysia dipasarkan maka usaha-usaha yang dilakukan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (Matrade) adalah untuk menyebarluaskan pasaran dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki.
Justeru itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Halal ASEAN selain penganjuran Forum Halal ASEAN pada September ini.
Beliau berkata Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) juga akan mempamerkan produk halal dengan menjemput pemain industri ASEAN bagi mengadakan padanan perniagaan dengan bakal pengimport.
Ahmad Zahid berkata Malaysia juga mengadakan satu usaha sama agar gelatin halal yang setakat ini hanya mempunyai satu pengeluar di Malaysia dikembangkan bagi pasaran ASEAN dan antarabangsa kerana gelatin sedia ada tidak mempunyai piawaian yang sesuai untuk mengeluarkan produk halal lain.
“Begitu juga untuk sektor perubatan, kosmetik dan lain-lain kerana kita hanya menumpukan pada sektor perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) sedangkan sektor lain cukup besar potensi pasarannya dan ini harus dikembangluaskan,” katanya.
Ahmad Zahid juga berkata Malaysia mempunyai ekosistem halal yang komprehensif merangkumi pensijilan halal yang diktiraf oleh 92 badan pensijilan halal luar negara dari 48 negara.
Pada masa sama, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Pulau Pinang kerana menjadi negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal.
Malaysia menerajui industri halal dunia dengan nilai eksport mencecah RM61.79 bilion pada 2024, peningkatan 15 peratus berbanding 2023 dan mengekalkan kedudukan di tangga teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut. – BERNAMA