Politik Perkauman Tidak Wajar Bertapak Di Sabah – Salleh Said
KOTA KINABALU, 6 Mei – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa politik berasaskan perkauman tidak wajar dan tidak harus diberi ruang untuk bertapak di negeri Sabah yang terkenal dengan keharmonian kaum dan agama.
Salleh, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, berkata bahawa isu perkauman yang sering kali timbul di Semenanjung Malaysia menimbulkan tanda tanya, memandangkan negara telah mencapai kemerdekaan lebih enam dekad lalu.
“Di Sabah, rakyat daripada pelbagai kaum seperti Kadazan, Dusun, Rungus, Bajau, Suluk, Irranun, Murut, Cina, Bugis dan lain-lain hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Mereka membesar bersama, belajar bersama dan saling meraikan perayaan tanpa sebarang halangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, masyarakat pelbagai agama di negeri ini juga mengamalkan sikap saling hormat-menghormati, termasuk ketika menyambut perayaan keagamaan dan kebudayaan.
“Perpaduan antara agama sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup rakyat Sabah. Ia adalah sesuatu yang harus dipertahankan,” katanya.
Mengulas mengenai landskap politik di negeri itu, Salleh berkata perbezaan fahaman politik tidak menjadi penghalang kepada perpaduan masyarakat.
“Walaupun wujud perbezaan dalam sokongan parti, ia tidak memecah-belahkan hubungan kejiranan atau persahabatan. Politik di Sabah lebih tertumpu kepada pembangunan dan keperluan rakyat, seperti peluang pekerjaan, pendidikan, jalan raya dan bekalan air bersih,” ujarnya.
Salleh turut menyeru agar rakyat Sabah terus mengekalkan semangat perpaduan dan tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman yang boleh menggugat keharmonian negeri ini.
“Keharmonian yang kita miliki adalah aset yang sangat berharga. Kita perlu pertahankan nilai ini demi masa depan negeri dan negara,” tambahnya. – UMNO Online