Dr Asyraf Nafi Tuduhan ‘Mensucikan’ Dap, Tegaskan UMNO Pertahan Dasar Parti
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh UMNO kononnya “mensucikan” Dap dalam kerangka Kerajaan Perpaduan Madani.
Dalam satu kenyataan tegas menerusi laman Facebooknya, Dr. Asyraf menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah tidak berasas dan menjelaskan bahawa UMNO tidak pernah tunduk kepada mana-mana tuntutan Dap yang bercanggah dengan dasar perjuangan parti.
“UMNO tidak pernah mengeluarkan sebarang ‘fatwa’ yang mewajibkan ahlinya menyokong Dap. Kami juga tidak pernah mengubah dasar perjuangan demi memenuhi kehendak Dap,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak pernah wujud sebarang tindakan simbolik oleh UMNO yang menunjukkan sokongan melampau terhadap Dap, seperti solat di hadapan pejabat parti itu, mengibarkan bendera Dap, atau menyanjung pemimpin Dap seperti tokoh Islam.
Menurutnya lagi, berbeza dengan parti lain yang pernah menukar dasar daripada Negara Islam kepada Negara Berkebajikan demi pakatan politik, UMNO kekal mempertahankan prinsip asasnya.
“UMNO pertahankan Dasar Islam, kedudukan Melayu-Bumiputera dan Raja-Raja Melayu dengan mewajibkan semua pemimpin 18 parti termasuk Dap tandatangan perjanjian.
“UMNO bantah dan Dap akur apabila pemimpin Dap, YB Ngeh Ko Ham cadang wakil bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Undang-Undang Syariah.
“UMNO bantah dan Dap tarik balik cadangan YB Nga Kor Ming untuk menjadikan Kampung Baharu sebagai Tapak Warisan UNESCO yang bertentangan dengan Perkara 153 Kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk asal.”
Tegasnya, tiada satu pun dasar berkaitan Islam mahupun agenda Melayu-Bumiputera yang dikompromi sepanjang tiga tahun Kerajaan Perpaduan Madani ini dibentuk. – UMNO Online