Perjuangan Najib Memuncak, Keputusan Mahkamah Persekutuan Dinanti – Azhari

KUALA LUMPUR, 28 April – Mahkamah Persekutuan bakal menjadi pentas penting dalam perjuangan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan keadilan yang sebenar, tegas Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Katanya, kes yang sedang diperjuangkan ini melibatkan permohonan Najib berhubung dokumen bertarikh 29 Januari 2024, yang dikatakan membuka ruang untuk beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

“Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan penting dalam perjuangan Datuk Seri Najib Razak untuk menuntut keadilan. Kes ini berkaitan permohonan beliau mengenai kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Januari 2024, yang dikatakan membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

“Setelah Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan bahawa kes ini perlu dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi berdasarkan merit, kini Peguam Negara memohon kebenaran untuk merayu keputusan tersebut.

“Segala hujah telah dikemukakan. Segala usaha telah dilakukan. Kini, kita hanya mampu berdoa agar keadilan ditegakkan, dan suara kebenaran diberikan ruang untuk didengari sepenuhnya,” katanya.

Seterusnya kata Azhari lagi, meskipun hukuman asal 12 tahun penjara telah diringankan kepada enam tahun melalui keputusan Lembaga Pengampunan, perjuangan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan keadilan tetap diteruskan.

“Najib Razak kini telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022. Walaupun hukuman asalnya 12 tahun telah diringankan kepada 6 tahun melalui keputusan Lembaga Pengampunan, perjuangan beliau untuk mendapatkan keadilan tetap diteruskan.

“Semoga Allah SWT membuka pintu-pintu kebenaran esok hari, dan memberikan kekuatan kepada Datuk Seri Najib serta keluarga beliau. Semoga segala ketidakadilan diperbetulkan, dan hak beliau sebagai warganegara Malaysia yang berhak mendapat keadilan terpelihara.Teruskan berdoa, teruskan menyokong perjuangan ini,” katanya lagi.

Terdahulu, keputusan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap ketetapan Mahkamah Rayuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.

Perkara itu akan diputuskan panel tiga hakim, dipengerusikan Hakin Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit