Jangan Terperdaya Naratif Angkat Politik Melebihi Ibadah – Azhari
SHAH ALAM, 21 April – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, menggesa umat Islam agar tidak terperdaya dengan naratif yang mengangkat kepentingan politik melebihi ibadah, khususnya ibadah haji yang merupakan salah satu rukun Islam.
Mengulas kenyataan kontroversi oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyatakan bahawa memenangi politik umat Islam lebih penting daripada menunaikan ibadah haji, Azhari menegaskan bahawa kenyataan seperti itu perlu diteliti dengan berhati-hati.
“Politik perlu dijadikan alat untuk menegakkan Islam, bukan alasan untuk menangguhkan Rukun Islam. Kita mesti kembali kepada keutamaan sebenar dalam agama iaitu iman, ibadah, akhlak dan amanah,” katanya.
Menurut beliau, haji bukan sekadar ibadah sunat, sebaliknya merupakan kewajipan fardu ain bagi setiap Muslim yang berkemampuan.
“Haji ialah Rukun Islam Kelima dan menunaikannya sekali seumur hidup adalah tuntutan agama yang jelas. Tiada ruang untuk meminggirkan rukun ini kecuali dalam keadaan darurat,” tegas Azhari.
Beliau turut menolak hujah bahawa politik Islam perlu diutamakan dalam konteks Malaysia, dengan menyatakan bahawa negara ini bukan dalam situasi darurat seperti yang dialami di Palestin atau Syria.
“Islam di Malaysia terpelihara di bawah Perlembagaan, bahkan mendapat sokongan kerajaan dan masyarakat. Kita tidak boleh menggunakan alasan darurat yang tidak wujud untuk mengetepikan kewajipan agama,” jelasnya.
Azhari turut menekankan bahawa meskipun politik Islam penting sebagai medan untuk menegakkan keadilan dan menjaga kebajikan umat, ia tidak seharusnya mengatasi rukun agama.
“Apabila politik disanjung lebih tinggi daripada rukun Islam, maka kita telah terbalikkan keutamaan agama,” katanya, merujuk kepada konsep fiqh aulawiyyat (keutamaan dalam Islam).
Mengulas penggunaan kisah Nabi Muhammad SAW untuk menyokong pandangan politik, Azhari mengingatkan agar tidak memetik sirah Baginda secara terpisah tanpa memahami konteks wahyu dan keperluan dakwah pada zaman itu.
“Nabi menangguhkan haji bukan kerana politik lebih penting, tetapi kerana keadaan dan strategi dakwah ketika itu. Selepas Fathul Makkah, Baginda sendiri menunaikan haji,” katanya lagi.
Azhari menggesa semua pihak untuk tidak menjadikan politik sebagai alasan untuk meremehkan tuntutan agama yang nyata dan tetap dalam syariat Islam. – UMNO Online