UMNO Johor Desak Tindakan Tegas Terhadap Akhbar Hina Bendera
JOHOR BAHRU, 19 April – Bulan sabit dalam bendera Jalur Gemilang melambangkan agama Islam sebagai agama Persekutuan, dan warna kuningnya sebagai simbol kedaulatan Raja-raja Melayu, demikian tegasnya Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday.
Ujarnya, bendera itu sendiri melambangkan kedaulatan sesebuah negara, ia bukan sekadar untuk digantung pada tiang supaya berkibar, tetapi sebagai bukti kesetiaan kepada tanah air tercinta ini.
“Sebagai rakyat Malaysia sebuah negara berdaulat kita tertakluk kepada prinsip dalam Rukun Negara seperti Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.
“Tindakan akhbar ini hanya memohon maaf dan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan terlibat. Ini bukan isu lembaga disiplin, tapi isu memperlekehkan negara yang berdaulat.
“Akhbar ini telah menunjukkan sikap ‘tidak setia’ kepada negara. Sewajarnya gantung dulu lesen akhbar ini dan Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT) pun boleh gantung lesen perniagaannya sehingga siasatan selesai dan barulah jadi pengajaran untuk mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Jais yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang berkata tindakan sebuah akhbar tempatan yang menyiarkan imej bendera kebangsaan tanpa bulan sabit menimbulkan persoalan serius terhadap penghormatan dan pengiktirafan terhadap Islam sebagai agama Persekutuan.
“Perkara tiga Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa ‘agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
“Pengguguran simbol bulan sabit yang mewakili Islam dalam Jalur Gemilang boleh ditafsirkan sebagai cubaan menafikan identiti negara yang berpaksikan Perlembagaan,” tegasnya lagi.
Ujarnya lagi, lebih membimbangkan, perkara ini berlaku ketika negara menjadi tuan rumah kepada seorang pemimpin dunia yang berpengaruh, sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang niat sebenar di sebalik tindakan tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain mengesahkan pihaknya sudah merakam keterangan dua pengurusan kanan Sin Chew Daily yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk tidak lengkap pada muka hadapan akhbar itu.
Proses merakam keterangan dilakukan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) pada jam 1 tengah hari.
Keterangan kedua-duanya diambil memandangkan mereka yang meluluskan gambar bendera, selain salah seorang adalah pereka grafik ilustrasi gambar bendera terbabit. – UMNO Online