Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit: Tindakan Tegas Sebagai Pengajaran Perlu Diambil Segera
KUALA LUMPUR, 17 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menegaskan bahawa kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit seperti yang disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan baru-baru ini tidak seharusnya berlaku.
Sehubungan itu beliau menggesa agar tindakan tegas segera diambil sebagai pengajaran agar hal sedemikian tidak berulang.
Ini kerana katanya, kejadian sebegini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila melibatkan simbol rasmi negara yang mempunyai makna mendalam serta signifikan terhadap sejarah, identiti dan perpaduan rakyat Malaysia.
“Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain yang dihiasi corak dan warna. Ia merupakan simbol kedaulatan dan semangat patriotik negara.
“Setiap elemen dalam bendera tersebut lambang bulan sabit membawa erti tersendiri yang mencerminkan asas pembentukan negara kita,” ujar beliau dalam kenyataan kepada UMNO Online.
Beliau turut menekankan bahawa lambang bulan sabit pada Jalur Gemilang melambangkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu tegasnya, sebarang kecuaian atau pengabaian dalam memaparkan elemen penting ini adalah satu perkara yang amat serius.
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan menegaskan bahawa isu-isu yang menyentuh soal kedaulatan negara, semangat perlembagaan dan keharmonian masyarakat harus diberi perhatian serius dan tidak boleh dipandang ringan.
“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang mempermainkan simbol atau identiti negara. Perkara seperti ini perlu dijadikan satu pengajaran penting, bukan sahaja kepada pihak media, tetapi kepada semua individu dan organisasi, agar ia tidak berulang atau berlarutan pada masa hadapan,” katanya dengan tegas.
Beliau juga menyeru supaya pihak berwajib menyiasat insiden berkenaan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berlaku kecuaian atau unsur disengajakan dalam insiden tersebut.
Pada masa sama, beliau mengajak semua pihak agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam menggunakan atau memaparkan sebarang lambang atau simbol rasmi negara.
“Sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kesucian simbol-simbol rasmi negara. Jalur Gemilang adalah lambang penyatuan, kedaulatan, dan perjuangan. Ia bukan hanya mewakili kerajaan, tetapi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Tambah beliau, dalam era dunia digital dan penyebaran maklumat yang pantas, sebarang kesilapan, sama ada disengajakan atau tidak, boleh membawa impak besar kepada keharmonian negara.
“Kerana itu, ketelitian dan tanggungjawab sosial perlu dijadikan keutamaan dalam sebarang bentuk penerbitan atau penyiaran.
“Insiden ini juga diharapkan menjadi satu titik kesedaran kepada semua pihak agar lebih menghargai dan menghormati simbol negara, serta memelihara nilai-nilai perpaduan, patriotisme dan kedaulatan Malaysia yang telah dibina sejak merdeka,” katanya lagi. – UMNO Online