Sidang DUN Sabah: Suhaimi Tegur Kegagalan Projek, Seru Dengar Suara Rakyat

KOTA KINABALU, 16 April – Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menyuarakan rasa kecewa dan kebimbangan rakyat terhadap beberapa isu yang masih belum diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Sabah sehingga kini.

Beliau melahirkan rasa demikian dalam sesi perbahasan Ucapan Dasar Kerajaan 2025 di Mesyuarat Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16, pada Isnin.

Dalam ucapannya, Suhaimi menyampaikan suara hati rakyat Libaran dan Sandakan yang semakin hilang keyakinan terhadap keberkesanan pentadbiran kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa walaupun pelbagai projek diumumkan dan dilaksanakan, hasilnya masih belum dapat dinikmati oleh rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk kegagalan pelaksanaan projek bekalan air luar bandar di Libaran.

Menurut beliau, tiga projek yang menelan belanja lebih RM180 juta dan telah siap secara fizikal sejak tahun 2019 hingga 2023 masih belum dapat menyalurkan air ke rumah-rumah penduduk.

Selain itu, beliau turut menempelak kelewatan pembinaan Jambatan Libaran Bypass Fasa 4 yang telah terbengkalai selama lebih 10 tahun.

“Pembinaan yang sudah berlarutan lebih 10 tahun tetapi masih tidak berfungsi, menyebabkan kesusahan berpanjangan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menyentuh tentang projek solar hibrid di Pulau Libaran yang masih belum siap sehingga kini walaupun dimulakan sejak Rancangan Malaysia Ke-10 dan menganggap kelewatan itu mencerminkan kegagalan serius dalam pentadbiran dan perancangan pembangunan.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran turut menzahirkan kebimbangan terhadap kadar pengangguran di Sabah yang kekal tinggi, iaitu 7.5 peratus iaitu jauh lebih tinggi berbanding kadar nasional.

Beliau menyatakan bahawa keadaan ini menunjukkan kegagalan dalam usaha menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak negeri.

Turut disentuh ialah isu ketelusan dan agenda bumiputera dalam agensi kerajaan seperti SEDCO.

“Saya menuntut laporan terperinci tentang pencapaian sebenar SEDCO dalam membantu usahawan bumiputera, serta mempertahankan prinsip agar peneraju utama agensi bumiputera mestilah anak jati Sabah.”

Dengan tgas, beliau turut mengingatkan kerajaan negeri agar tidak lagi berterusan menyalahkan kerajaan terdahulu atas kelemahan yang berlaku.

“Sudah lima tahun masa berlalu, rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan, tetapi mahu melihat hasil kerja yang nyata.

“Dewan ini adalah medan amanah, bukan sekadar pentas retorik politik. Jika benar kerajaan ingin membawa Sabah maju jaya, maka sudah tiba masanya untuk mendengar suara rakyat, melaksanakan tindakan berkesan, dan membina semula keyakinan yang telah hilang.

“Sekiranya ini adalah penggal terakhir saya di dewan yang mulia ini, saya merakamkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah. Namun, jika diberi peluang lagi, saya berikrar untuk terus menjadi suara rakyat dan memastikan rakyat Sabah menjadi keutamaan.” Ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit