Tarif Baharu Amerika Syarikat: Apa Maknanya Untuk Rakyat Malaysia?

Pengumuman Mengejut dari Washington

Pada 3 April 2025, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan pelaksanaan dasar perdagangan baharu yang menyaksikan pengenaan tarif sebanyak 24% ke atas kebanyakan produk import dari Malaysia, berkuat kuasa mulai 9 April. Langkah ini merupakan sebahagian daripada kempen perdagangan yang lebih luas di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), di mana tarif dikenakan terhadap negara-negara yang dikatakan menyumbang kepada defisit perdagangan besar terhadap Amerika Syarikat.

Malaysia, yang berada di tangga ke-14 dalam senarai yang digelar “Dirty 15”, disenaraikan sebagai antara penyumbang ketara kepada ketidakseimbangan dagangan AS. Namun begitu, tafsiran ini dipertikai oleh pihak kerajaan Malaysia yang menyatakan bahawa angka-angka tersebut tidak mengambil kira struktur pelaburan syarikat-syarikat AS yang beroperasi di Malaysia. Malah, produk utama seperti semikonduktor — penyumbang terbesar eksport Malaysia ke AS — telah dikecualikan daripada tindakan ini, memberikan sedikit kelegaan kepada sektor teknologi negara.

Apa Itu Tarif dan Bagaimana Ia Berfungsi?

Tarif ialah cukai yang dikenakan ke atas barangan yang diimport ke sesebuah negara. Dalam konteks ini, apabila AS mengenakan tarif ke atas barangan dari Malaysia, harga produk-produk tersebut meningkat apabila tiba di pasaran Amerika. Misalnya, jika sebuah syarikat Malaysia menjual produk elektrik pada harga USD100, pengenaan tarif 24% akan menjadikan harganya USD124. Rakyat AS yang hendak membeli produk ini yang mengalami peningkatan harga.

Peningkatan ini boleh menyebabkan produk Malaysia menjadi kurang kompetitif berbanding produk dari negara lain dan ini akan mengakibatkan rakyat AS berkemungkinan akan kurang membeli produk daripada Malaysia dan akan memilih barangan yang lebih murah daripada negara lain yang dikenakan tarif yang lebih rendah. Secara keseluruhan, ini akan mengakibatkan permintaan terhadap produk Malaysia mungkin berkurangan.

Apabila permintaan berkurang, syarikat mungkin perlu menyemak semula operasi mereka. Ini boleh melibatkan pengurangan waktu bekerja, penangguhan pengambilan pekerja baharu, atau dalam kes tertentu, pelarasan tenaga kerja. Namun begitu, impaknya berbeza-beza bergantung kepada tahap pergantungan syarikat itu kepada pasaran Amerika Syarikat.

Siapa Yang Paling Terjejas dan Siapa Yang Tidak?

Hakikatnya, kesan langsung tarif 24% oleh Amerika Syarikat ini tidak akan dirasai oleh kebanyakan rakyat Malaysia dalam kehidupan harian mereka. Ini kerana tarif ini dikenakan terhadap barangan eksport industri, dan bukan barangan pengguna harian seperti makanan, pakaian atau petrol.

Secara spesifik, tarif ini menyasarkan produk-produk buatan Malaysia yang dihantar ke Amerika, seperti barangan elektrik dan elektronik (selain semikonduktor), getah, perabot, plastik, minyak sawit dan peralatan optik. Maka, kesan awalnya akan lebih dirasai oleh syarikat-syarikat yang mengeksport terus ke Amerika, serta pekerja dalam sektor-sektor tertentu yang bergantung tinggi kepada pasaran eksport itu.

Sebagai contoh, jika sesebuah kilang di Pulau Pinang atau Kulim menghasilkan alat elektronik yang 80% dieksport ke AS, syarikat itu mungkin terpaksa menyemak semula jumlah pengeluaran kerana kos tarif menjadikan produk mereka lebih mahal dan kurang kompetitif. Ini boleh memberi kesan kepada operasi dan struktur kos syarikat, tetapi bukan bermaksud akan berlaku pemberhentian besar-besaran.

Namun demikian, bukan semua syarikat bergantung kepada pasaran AS sahaja. Malah, kebanyakan syarikat kini mempunyai pasaran pelbagai termasuk Eropah, China, ASEAN dan Timur Tengah. Ini memberi ruang untuk mereka menyesuaikan strategi pemasaran dan pengeluaran mereka ke arah destinasi lain yang lebih menguntungkan.
Bagi rakyat Malaysia secara umum – seperti peniaga kecil, pekerja perkhidmatan, penjawat awam, petani, nelayan, guru, jururawat, atau pemandu e-hailing – mereka tidak akan terkesan secara langsung oleh tarif ini kerana pekerjaan dan pendapatan mereka tidak bergantung kepada eksport ke Amerika.

Malah, lebih 70% pekerjaan di Malaysia datang dari sektor domestik, termasuk perkhidmatan, pembinaan, pendidikan, pelancongan, kesihatan dan makanan – yang semuanya tidak berkaitan langsung dengan eksport ke AS.

Oleh itu, mesej penting di sini ialah: rakyat biasa tidak perlu panik atau bimbang secara berlebihan. Kesan sebenar tarif ini lebih bersifat khusus kepada sesetengah industri eksport dan bukan kepada seluruh ekonomi atau semua golongan rakyat.

Apa yang penting ialah kerajaan dan syarikat terbabit sedang mengambil langkah-langkah penyesuaian, manakala rakyat digalakkan untuk terus menyokong ekonomi tempatan dan mengambil peluang daripada dasar sokongan yang sedang dan akan disediakan.

Apa Yang Dilakukan Oleh Kerajaan?

Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan yang berhemah dan berstrategi. Negara tidak membalas dengan tarif balas, sebaliknya memilih untuk meneruskan rundingan diplomatik dan teknikal dengan rakan dagang utama itu. Langkah ini dilihat sebagai wajar, memandangkan Malaysia masih memerlukan kestabilan akses pasaran antarabangsa untuk mengekalkan pertumbuhan eksport dan pelaburan asing.

Sebagai langkah awal, kerajaan telah menubuhkan Pusat Komando Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri. Tujuan NGCC adalah untuk menilai kesan tarif terhadap pelbagai sektor, menjalankan simulasi ekonomi, serta menyelaras tindakan antara kementerian dan agensi. Malaysia juga menggunakan platform perjanjian sedia ada seperti RCEP, CPTPP dan TIFA untuk mengukuhkan kedudukan dagangan dan membuka peluang pasaran baharu di luar AS.

Dalam masa yang sama, kerajaan boleh meluaskan lagi ruang strategi perdagangan negara dengan lebih agresif dalam tiga bidang utama.

Pertama, penjelajahan pasaran alternatif perlu digiatkan secara lebih tersusun dan berskala besar. Rantau Asia Barat, Afrika Utara, Amerika Latin serta negara-negara Asia Selatan seperti India dan Bangladesh menawarkan peluang pasaran pengguna yang semakin berkembang, khususnya dalam sektor produk makanan, perabot, getah dan teknologi perindustrian. Usaha ini perlu melibatkan gabungan promosi perdagangan, penempatan pejabat perdagangan luar negara yang aktif, dan pemadanan pelabur-pembeli yang lebih strategik.

Kedua, Malaysia perlu menyusun semula peta eksport negara dengan memperluas skop dan nilai eksport, agar tidak terperangkap sebagai sekadar pengeluar kos rendah. Kita perlu memacu pelaburan ke arah sektor yang menjadikan Malaysia ‘indispensable’ atau tidak boleh digantikan dengan mudah oleh AS atau mana-mana kuasa besar lain. Ini termasuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem semikonduktor, reka bentuk cip, produk berasaskan tenaga boleh baharu, rare earth processing dan teknologi bersih. Apabila negara mempunyai nilai unik yang tidak mudah diganti, rundingan perdagangan menjadi lebih seimbang dan berpengaruh.

Ketiga
, strategi jangka panjang mesti melibatkan pengembangan pelaburan bersama dalam sektor yang menjalin kepentingan bersama dengan rakan dagang utama. Sebagai contoh, kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi angkasa, pertahanan siber atau perisian industri yang melibatkan pelabur dari AS boleh mewujudkan bentuk keterikatan ekonomi dua hala yang lebih dalam, menjadikan hubungan dagangan tidak mudah diganggu oleh dasar populis atau bersifat sepihak.

Dengan pendekatan ini, Malaysia bukan sahaja bertindak balas terhadap cabaran yang wujud, tetapi turut mengukuhkan posisi strategiknya dalam rantaian nilai global, menjadikan negara lebih tahan lasak dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik masa depan.

Apa Peranan Rakyat Malaysia?

Bagi rakyat, perkara paling penting ialah untuk kekal tenang dan tidak panik. Kebanyakan rakyat tidak akan melihat perubahan besar dalam pendapatan atau kos sara hidup mereka. Namun begitu, sokongan kepada produk tempatan akan membantu mengekalkan daya tahan ekonomi dalam negara. Rakyat juga digalakkan untuk mengambil peluang dalam program peningkatan kemahiran seperti TVET, HRD Corp atau inisiatif kerajaan negeri, terutama jika bekerja dalam sektor yang terdedah kepada eksport.

Dalam masa yang sama, penting untuk rakyat menilai maklumat dengan bijak, mengelakkan berita sensasi atau tanggapan bahawa ekonomi negara sedang runtuh. Realitinya, Malaysia masih mencatat pertumbuhan ekonomi, pelaburan asing masih masuk, dan pasaran global masih luas.

Menyemai Kebijaksanaan Domestik
Tarif 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap eksport Malaysia bukan sekadar isu perdagangan dua hala. Ia merupakan satu ujian terhadap kebijaksanaan dasar negara, ketahanan struktur ekonomi, dan keupayaan Malaysia untuk menyesuaikan diri dalam landskap geopolitik yang semakin mencabar. Seperti yang telah dihuraikan dalam artikel ini, kesan tarif tersebut adalah bersifat sektoral dan tidak menyentuh keseluruhan ekonomi negara secara langsung.

Sebahagian besar rakyat Malaysia tidak akan terkesan secara ketara kerana majoriti pekerjaan dan perbelanjaan harian bergantung kepada sektor domestik, bukannya pasaran eksport ke Amerika.

Kerajaan pula telah menunjukkan pendekatan yang berhemah dan berpandangan jauh. Tindakan tidak membalas dengan tarif balas tetapi memilih jalan diplomasi, rundingan teknikal dan penstrukturan semula dasar perdagangan adalah langkah yang wajar. Malaysia juga mengambil peluang ini untuk menilai semula kebergantungan pasaran, memperluas skop eksport, dan memperkukuh kedudukan dalam industri strategik global.

Bagi rakyat, sokongan terhadap inisiatif ini adalah penting. Kita tidak perlu panik atau terlalu bimbang, sebaliknya terus memainkan peranan dalam menyokong ekonomi tempatan, meningkatkan kemahiran, dan menilai maklumat secara rasional. Cabaran ini bukan kelemahan, tetapi peluang untuk Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai negara dagang yang matang, mandiri dan berdaya saing.

Oleh: RAZIZ RASHID
Pengarah Komunikasi kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia

*********************************************************

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit