PN Cuba Kelirukan Rakyat Tentang UMNO – Sarfarizmal

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Perikatan Nasional (PN) dilihat cuba untuk mengelirukan rakyat tentang UMNO, kata Pengarah UMNO Negeri Sembilan Comms, Sarfarizmal Md Saad.

Ini kerana katanya, PPBM sedang berusaha untuk membentuk naratif seolah-olah UMNO hanya menolak Anwar dan Dap sebelum melangkah ke gerbang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sedangkan PPBM juga menerima nasib sama.

“UMNO sejak awal telah menetapkan pendirian ‘No Anwar, No DAP, No PPBM’ yang dibuktikan melalui keputusan bertanding secara solo pada PRU ke-15, bukan bersifat retorik atau selektif.

“PPBM cuba membentuk naratif seolah-olah UMNO hanya menolak Anwar dan DAP. Sedangkan hakikatnya UMNO juga menolak kerjasama dengan PPBM sejak dahulu lagi.

“Ingat lagi tak, selepas PRU ke-15, tiada parti memperoleh majoriti dan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan. Namun, PN menolak titah tersebut dan cuba membentuk kerajaan sendiri. Waktu inilah UMNO akhirnya membuat keputusan untuk bersama Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara, atas nasihat YDPA,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Ujarnya, PPBM cuba menghasut kepercayaan rakyat dengan memainkan sentimen bahawa UMNO khianat kepada perjuangan Melayu-Islam yang dibawa sejak sekian lama.

“Tetapi apa PPBM ‘sembang’? Mereka cuba hasut kepercayaan rakyat dengan memainkan sentimen bahawa UMNO cuba bertindak melakukan pengkhianatan terhadap perjuangan Melayu-Islam (sedangkan mereka yang tidak patuh dan menjunjung titah YDPA).

“Kini, PPBM dan Gerakan kelihatan terdesak apabila cuba membuka ruang untuk kembali bekerjasama dengan UMNO. Jika benar-benar kuat, mereka tidak perlu mencari sekutu baharu. Perpecahan dalam PN juga semakin jelas apabila Pas menjadi lebih dominan, menyebabkan PPBM kehilangan hala tuju.

“Sebab itu apabila ada cadangan untuk PPBM dan UMNO bergabung demi Melayu-Islam, ramai menolak ‘offer’ ini kerana parti itu sendiri lahir daripada pengkhianatan terhadap UMNO. Mereka yang memecah-belahkan orang Melayu dengan menubuhkan parti serpihan dan kini mahu kembali demi kepentingan politik sendiri?” soalnya.

Menurutnya, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang berlaku dalam konteks Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah sebagai satu gabungan besar, bukan melibatkan Dap secara khusus.

“Apa naratif pemimpin UMNO ketika ini? Mereka mahu UMNO kekal bersama BN dan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU ke-16. Fokus utama parti adalah membantu kerajaan memulihkan ekonomi, bukannya bermain politik untuk kepentingan individu atau parti tertentu.

“PN cuba mengelirukan rakyat dengan dakwaan UMNO bekerjasama secara langsung dengan Dap. Mereka akan takut-takutkan rakyat kononnya UMNO akan ‘support’ agenda jahat Dap : anti-Islam, rosakkan Melayu, tubuh asas baharu untuk negara ini.

“Hakikatnya, kerjasama berlaku dalam konteks BN-PH sebagai satu gabungan besar, bukan antara UMNO dan Dap secara khusus,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga berpandangan bahawa perpecahan Melayu bermula kerana kewujudan PPBM.

“Naratif PN hanyalah usaha untuk merosakkan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan, sebab mereka mahu menjadi kerajaan. Mereka mahu menjadi menteri, timbalan menteri.

“Jika PPBM benar-benar ikhlas mahu perpaduan Melayu, mereka boleh sahaja membubarkan parti dan kembali ke UMNO. Perpecahan Melayu bermula kerana kewujudan PPBM dan PN. Langkah terbaik untuk menyatukan orang Melayu adalah dengan menamatkan perpecahan yang mereka sendiri mulakan sejak PRU ke-14,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, PPBM bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan musuh ketatnya, UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.

Hamzah berkata, tiada sebab bagi UMNO dan PPBM untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan, asas matlamat perjuangan yang sama sepatutnya membolehkan Bersatu dan UMNO duduk semeja. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit