Akta Orang Asli 1954 Akan Dipinda, Ditambah Baik – Ahmad Zahid
SEREMBAN, 12 Mac – Akta Orang Asli 1954 akan dipinda dan ditambah baik selepas 70 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, terdapat beberapa aspek yang akan dititikberatkan termasuklah soal tanah dan pendidikan.
“Tadi di dalam ucapan saya menyebutkan bahawa akta Orang Asli 1954 akan dipinda dan ditambah baik kerana ianya telah lebih daripada 70 tahun. Terdapat beberapa aspek yang sedang diperkirakan untuk dimasukkan di dalam ubah suai dan naik taraf akta ini.
“Pertama ialah soal tanah kerana terdapat beberapa pertikaian di antara komuniti orang asli dengan pihak kerajaan negeri dan pihak tuan tanah sama ada swasta ataupun kerajaan. Begitu juga apa yang telah diistilahkan sebagai kawasan rayau. Ini termasuk di dalam pindaan dan pembaikan kepada akta ini.
“Di samping itu, kita juga memberikan penekanan kepada pendidikan orang asli walaupun saya telah sebutkan bahawa memang ada rancangan khusus yang telah dijalankan untuk orang-orang asli. Ia bukan hanya untuk sekolah rendah, menengah, pendidikan tinggi, dan TVET. Tetapi apa yang sedang dilakukan adalah untuk menaikkan taraf tentang pendidikan serta ekosistem dalam pendidikan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus selepas program Majlis Santunan Kasih Ramadan yang diadakan di sini, semalam
Menurutnya, pihak Kementerian turut menekankan aspek ekonomi Orang Asli di dalam usaha untuk menaiktaraf akta tersebut.
“Ketiga adalah aspek ekonomi. Kita tahu bahawa orang asli juga mempunyai hak untuk dilatih, dibimbing dan diberikan pinjaman untuk menjadi usahawan. Ini termasuk kemudahan untuk mengilang produk-produk kejualan mereka.
“Di samping itu, kita juga akan melihat tentang perumahan untuk orang asli. Walaupun pihak kerajaan memberikan keprihatinan kepada rumah-rumah orang asli, saya sebutkan tadi tentang ‘Happy Home’. Namun, pada hemat KKDW, mereka juga harus diberikan rumah yang lebih selesa di kawasan tanah rizab orang asli.
“Di samping itu, kita juga melihat dari segi infrastruktur, bekalan air, elektrik danjuga kemudahan-kemudahan lain. Ini semua akan dimasukkan ke dalam akta yang diubah suai,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan membuat kajian perbandingan Akta Orang Asli New Zealand dan menjadikan ia sebagai satu rujukan.
“Ketua Pengarah JAKOA akan membuat kajian perbandingan di New Zealand untuk melihat bagaimana Akta Orang Asli Maori di New Zealand itu dapat dijadikan salah satu panduan untuk pindaan akta orang asli ini. Apa yang dilakukan di negara berkenaan mungkin boleh kita pakai dan jadikan panduan.
“Kita mempunyai ataupun tarikh sasaran iaitu pada bulan September nanti apabila draf awal pindahan akta ini… setelah sesi libat urus selesai. Sekarang ini, kami sedang sibuk lakukan libat urus bukan hanya dengan batin dan pemimpin orang asli, termasuk juga para intelektual dan ahli professional.
“Kita akan bersama-sama dengan bahagian draf undang-undang Jabatan Peguam Negara untuk kita menyelesaikan masalah ini. Insya-Allah kalau ianya telah selesai, pindaan ini akan dibawa ke jemaah menteri. Saya sendiri akan membawanya untuk mendapatkan kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen. Insya-Allah paling lewat pertengahan tahun depan, tetapi kita akan cuba untuk akhir tahun ini bagi dibentangkan di Dewan Rakyat dan seterusnya di Dewan Negara,” katanya lagi. – UMNO Online