Tempat Perlindungan Disedia Untuk Mangsa Dera Libatkan Kes Serius – Noraini
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa peka dengan isu keganasan rumah tangga dengan pelaksanaan pengukuhan penguatkuasaan undang-undang, menerusi pindaan Akta 521 yang meliputi aspek penderaan dan psikologi.
Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan melalui itu 42 tempat selamat telah disediakan bagi memberi perlindungan kepada mangsa dera yang melibatkan kes penderaan serius.
“Melalui pindaan Akta 521 seperti dinyatakan dengan memasukkan aspek penderaan dan kecederaan psikologi. Kemudiannya ditambah baik dengan tafsiran keganasan rumah tangga dan pelindungan segera. Melalui Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) ianya sah selama tujuh hari dan boleh terus digunapakai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.
“Kemudian bagi kes yang lebih serius Perintah Perlindungan Interim (IPO) pula dilaksanakan bagi siasatan lanjut sehingga selesai. Dan perintah perlindungan dikeluarkan oleh mahkamah dan mangsa kita boleh tempatkan mereka di tempat-tempat yang selamat.
“Untuk makluman ada 42 tempat yang selamat untuk berlindung rumah perlindungan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita dan juga pusat transit,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson-PH) yang meminta menyatakan sama ada Kementerian bercadang untuk memperkenalkan pindaan undang-undang dalam meningkatkan perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga, khususnya yang melibatkan wanita.
Mengulas lanjut Noraini berkata berdasarkan statistik kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia, trend kes menunjukkan peningkatan pada tahun 2024 berbanding kes yang dilaporkan pada 2022 dan 2023.
Menurut beliau pada tahun 2022, sebanyak 6,540 kes telah direkodkan diikuti dengan 5,507 kes pada tahun 2023, manakala pada tahun 2024 sebanyak 7,116 kes dilaporkan.
“KPWKM peka dengan kenaikan kes-kes keganasan rumah tangga yang berlaku pada tahun 2024, keperluan pindaan ke atas Akta 521 ini serta perundangan lain yang berkaitan akan terus dikaji daripada semasa ke semasa bagi memastikan kawalan dan tindakan perundangan ditambah baik.
“Pada masa ini, KPWKM meletakkan fokus utama pengurusan kes keganasan rumah tangga dengan kerjasama strategik bersama agensi-agensi kerajaan serta pelbagai NGO melalui penubuhan Jawatankuasa Menangangi Keganasan Rumah Tangga (JKRT).
“JKRT memainkan peranan untuk menyelaras serta memantau isu dan inisiatif berkaitan keganasan rumah tangga secara holistik dan menyeluruh, ia meliputi inisiatif merangkumi analisa ke atas data kes keganasan rumah tangga aspek advokasi, bantuan pelindungan, hikmat sokongan dan pengupayaan diri,” ujar beliau. – UMNO Online