Selaras Aspirasi Kerajaan Madani: JAN Tekad Terus Agenda Perkasa Tatakelola – Azalina
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Jabatan Audit Negara (JAN) bertekad untuk meneruskan agenda pemerkasaan tatakelola selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, Pindaan Akta Audit 1957 merupakan perubahan signifikan kepada sistem akauntabiliti awam.
“Seperti dimaklumkan dalam Dewan sebelum ini, peranan JAN kini diperkukuhkan dengan pindaan kepada Akta Audit 1957 [Akta 62] yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 Julai 2024 dan di Dewan Negara pada 24 Julai 2024, setelah 33 tahun tidak dipinda.
“Pindaan Akta Audit 1957 merupakan perubahan signifikan yang dibawa oleh Kerajaan Madani dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada sistem akauntabiliti awam, antaranya melalui pewujudan pendekatan pengauditan baharu yang dikenali sebagai ‘follow the public money audit’.
“Selain itu, perluasan skop kuasa Ketua Audit Negara merangkumi pengauditan badan lain termasuk syarikat yang menerima kepentingan kerajaan dalam bentuk jaminan kewangan. Ketua Audit Negara juga boleh mengeluarkan apa-apa garis panduan berhubung pengauditan serta kuasa baharu untuk membuat susulan audit terhadap tindakan yang telah diambil terhadap apa-apa syor, ulasan atau pandangan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Usul Dibawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bilangan 1/2025.
Menurutnya, JAN juga telah mewartakan 1,856 badan lain untuk tujuan pengauditan melalui sistem ‘e-Self’.
“Dalam usaha mengukuhkan ekosistem kewangan negara, JAN selanjutnya telah mewartakan 1,856 badan lain termasuk syarikat melalui Perintah Audit (Akaun Badan Lain) (Pindaan) 2024 untuk tujuan pengauditan dan berkuat kuasa pada 1 November 2024.
“Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 100.6% berbanding 925 buah syarikat yang diwartakan pada tahun 2022. JAN bertekad untuk meneruskan agenda pemerkasaan tatakelola selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani dengan memperkenalkan pendekatan baharu yang dapat memastikan kesemua 1,856 badan lain termasuk Syarikat Kerajaan yang diwartakan pada 1 November 2024 akan diaudit setiap tahun melalui sistem ‘e-Self’ yang dibangunkan secara dalaman oleh JAN.
“Isu yang dilaporkan dalam LKAN disusul melalui Sistem Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara dengan izin Auditor General’s Dashboard (AGD) secara telus dan terbuka bagi memastikan tindakan pembetulan dan penambahbaikan dilaksanakan oleh pihak berkaitan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau beranggapan bahawa LKAN wajar diteruskan perbahasannya di Dewan Rakyat untuk memupuk budaya kebertanggungjawaban dan ketelusan kepada transformasi pentadbiran awam.
“Kerajaan Madani berpendapat bahawa LKAN wajar diteruskan perbahasannya di Dewan Rakyat untuk mendapatkan perhatian yang lebih mendalam daripada semua pihak. Sejak kali pertama diperkenalkan, Kerajaan Madani telah empat kali mengemukakan Usul bagi Perbahasan mengenai LKAN, yang mencatat sejarah dalam usaha mempertingkatkan kecekapan, ketelusan, dan keberkesanan entiti awam.
“Langkah ini selaras dengan usaha Kerajaan untuk memperkukuhkan tadbir urus sektor awam dan diharapkan dapat menyokong pemantauan yang lebih berkesan serta meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan. Memupuk budaya kebertanggungjawaban dan ketelusan adalah kunci kepada transformasi pentadbiran awam.
“Dengan ini, Dewan Rakyat memainkan peranan penting dalam ‘semak dan imbang’ terhadap kuasa eksekutif, memastikan integriti dan kecekapan mana-mana kerajaan terjaga. Pada masa yang sama, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) wajar meneliti dengan teliti perkara-perkara yang dibangkitkan dalam LKAN. Adalah penting untuk memastikan PAC terus berfungsi dengan penuh integriti, tanpa dipengaruhi oleh sebarang elemen politik atau kepentingan pihak tertentu,” katanya lagi. – UMNO Online