Dewan Ulama Pas Perlu Ditegur Bukannya Perdana Menteri
SAYA membaca teguran Dewan Ulamak PAS Pusat terhadap ucapan YAB Perdana Menteri tentang maksud ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “diwajibkan ke atas kamu berpuasa SEBAGAIMANA diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu”.
2. Huraian oleh YAB PM terhadap maksud ayat “sebagaimana” sudah menepati apa maksud al-Quran sebagaimana dihurai oleh para Alim Ulama Islam iaitu “persamaan” dari sudut konsep puasa yang diwajibkan pada umat terdahulu tetapi berbeza pada cara dan perlakuan ibadah.
Kata Tantawi dalam Tafsir al-Wasit:
عبادة الصوم كانت مكتوبة ومفروضة على الأمم السابقة ، ولكن بكيفية لا يعلمها إلا الله
“Ibadah puasa adalah dikenakan dan diwajibkan atas umat-umat terdahulu tetapi dengan cara yang tidak diketahui melainkan oleh Allah”.
3. Para ulamak tafsir sepakat bahawa persamaan puasa dengan umat terdahulu ialah pada persamaan kewajipan berpuasa atau pada persamaan konsep puasa iaitu meninggalkan makan dan minum tetapi para ulamak berbeza pendapat adakah ia juga persamaan pada masa dan cara atau tidak?
Begitu juga ulama berbeza pendapat adakah umat terdahulu itu merangkumi agama “samawi” sahaja kerana Arab Jahiliyyah yang menyembah berhala juga berpuasa Asyura sebagaimana Hadis Sahih daripada Aisyah (r.ah) katanya:
كان يوم عاشوراء يوما تصومه قريش في الجاهلية
“Dulunya hari Asyura merupakan hari yang orang-orang Qurasiy berpuasa di zaman Jahiliyyah”
(Hadis riwayat Bukhari no 4504 dan Muslim no 1125)
4. Sebaliknya DUPP perlu ditegur kerana membuat tafsiran baru tersendiri yang menyempitkan maksud apabila menyatakan: “maksud “umat yang terdahulu berpuasa” dalam ayat Al-Quran tersebut adalah atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam.”
Hal ini kerana para ulama ketika mentafsirkan ayat di atas telah menyebut tentang puasa orang kristian yang direka oleh paderi-paderi kristian dan tentunya ia bukannya atas dasar ketauhidan. Begitu juga puasa Asyura orang Arab Jahiliyyah tentunya bukan atas dasar ketauhidan. Justeru, yang disepakati oleh ulama ialah pada “persamaan” dengan umat terdahulu ialah pada hukum kewajipan dan pada konsep berpuasa iaitu meninggalkan makan minum. Adapun lain pada itu menjadi khilaf ulama.
5. Saya menasihatkan Dewan Ulamak Pas Pusat agar tidak mencari titik-titik berbeza dengan YAB PM kerana perbezaan parti dan pegangan politik untuk diangkat menjadi polemik. Sewajarnya kita mengangkat titik-titik kebersamaan untuk digerakkan bagi memperkasakan lagi Islam dalam negara.
Sekian.
Datuk Wira Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Penasihat Agama kepada YAB Timbalan Perdana Menteri
Rabu 26 Februari 2025 / 27 Sya’ban 1446