Kerajaan Madani Tambah Baik Tatakelola, Lindungi Kedaulatan Negara – Azalina
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan sebelum ini Kerajaan Madani telah pun memansuhkan hukuman mati mandatori, menambah baik perlindungan kanak-kanak, menambahbaik tatakelola dan juga mewujudkan undang-undang berkaitan untuk melindungi kedaulatan negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan kini kerajaan telah melangkah ke hadapan untuk membuat pindaan undang-undang lapuk yang melibatkan undang-undang komersial dan jenayah.
“Sebagai permulaan Kerajaan MADANI telah pun mengambil inisiatif kehadapan daripada Kerajaan sebelum ini dalam menubuhkan satu Jawatankuasa Semakan dan Kajian Akta Kontrak 1950 (Akta 136) pada 14 Januari 2025 yang mana tempoh masa kajian ini adalah selama 18 bulan.
“Pindaan ini penting untuk dibuat memandangkan pindaan terakhir yang dibuat adalah pada tahun 1976. Sebahagian besar isi kandungan di dalam akta tersebut menggunakan istilah-istilah lama serta berteraskan prinsip undang-undang yang sudah tidak relevan dengan keperluan zaman moden.
“Ini mengakibatkan banyak peruntukan di bawah Akta 136 tidak mampu menangani isu kompleksiti dalam transaksi terutamanya transaksi e-dagang dan perjanjian berbentuk digital,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada ucapan penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, hari ini.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata jawatankuasa ini penting untuk mengkaji semula bidang utama pembangunan undang-undang kontrak dan menilai kembali kekangan dan kelemahan Akta 136.
“Jawatankuasa ini penting untuk mengkaji semula bidang utama pembangunan undang-undang kontrak dan menilai kembali kekangan dan kelemahan Akta 136, mengkaji keputusan penting di mahkamah bagi bidang teras undang-undang kontrak, membuat penyataan semula undang-undang kontrak, mengesyorkan keperluan pembaharuan, dan menyediakan laporan lengkap yang mengandungi hasil kajian,” katanya lagi.
Persoalannya, berapa banyak seksyen daripada keseluruhan 511 seksyen dalam Kanun Keseksaan, 167 seksyen dalam Akta Keterangan, dan 444 seksyen dalam Kanun Tatacara Jenayah yang telah dianggap lapuk?
“Yang paling penting, berapa banyak daripada peruntukan ini yang dapat memperkasa dan memperkukuhkan sistem keadilan jenayah negara kita?”
Tambah beliau lagi, dalam konteks ini, BHEUU, JPM sedang menerajui arus pembaharuan undang-undang jenayah di Malaysia.
“Kita boleh mengambil negara India sebagai contoh yang progresif dalam sistem perundangan mereka, di mana mereka telah berjaya menjalankan penstrukturan semula undang-undang jenayah dengan meminda Kanun Keseksaan serta Kanun Tatacara Jenayah.
“Oleh itu, usaha Reformasi Undang-Undang Jenayah ini akan melibatkan cadangan penubuhan jawatankuasa bagi membuat semakan dan pembaharuan kepada sistem perundangan jenayah di Malaysia.
“Jawatankuasa ini akan dibentuk dalam masa yang terdekat untuk meneliti sistem perundangan ini dari aspek kesalahan, hukuman, dan prosedur-prosedur yang berkaitan,” jelasnya.
Pada masa yang sama kata Azalina lagi, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya satu kajian empirikal yang terperinci dan holistik dibuat berkenaan dengan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
“Bagi tujuan ini, dua Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan bagi menjalankan kajian empirikal secara berfasa. Pihak Kerajaan Madani kekal komited dalam menjayakan usaha reformasi ini.
“Di negara Kanada, walaupun terdapat pemisahan terhadap peranan dan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, akan terdapat keadaan tertentu di mana wujudnya kuasa Peguam Negara untuk menyelia kuasa-kuasa Pendakwa Raya.
“Sama juga di Australia, terdapat kuasa penyeliaan di pihak Peguam Negara terhadap kuasa pendakwaan Pendakwa Raya,” jelasnya lagi.
Oleh yang demikian katanya lagi, sebelum pihak Kerajaan membuat apa-apa keputusan yang membawa implikasi besar kepada Kerajaan sama ada implikasi kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa akta lain.
“Pihak Kerajaan membuat apa-apa keputusan yang membawa implikasi besar kepada Kerajaan sama ada implikasi kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa akta lain yang berkaitan termasuk implikasi kewangan.
“Kerajaan perlu mengambil kira hasil kajian empirikal dalam mengenal pasti model yang benar-benar sesuai untuk diterima pakai dalam pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online