Insentif Kerajaan Bantu PMKS Hadapi Gaji Minimum Baharu – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Sokongan atau insentif yang diberikan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk memastikan mereka dapat menyesuaikan diri semasa tempoh peralihan apabila gaji minimum baharu dilaksanakan adalah seperti pengurangan cukai, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad .
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO memaklumkan terdapat beberapa kes, kerajaan memberikan pengurangan cukai atau insentif lain kepada PMKS yang mampu mengekalkan pekerja walaupun dengan gaji minimum yang lebih tinggi.
“Melalui Belanjawan 2025 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM40 bilion untuk PMKS dalam bentuk geran, pinjaman, jaminan dan sebagainya. Selain itu, Government-Linked Investment Company (GLIC) telah diberi mandat untuk melabur RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik (Domestic Direct Investment, DDI).
“Bantuan sebegini membolehkan PMKS melabur dalam teknologi yang meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi dan menjamin pembangunan dan daya saing perniagaan PMKS pada jangka panjang.
“Kerajaan juga memberi penangguhan kuat kuasa kadar gaji minimum RM1,700 terhadap majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab persoalan lisan dari Vivian Wong Shir Yee (Sandakan) yang meminta meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah skim bantuan yang tersedia untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana di negara ini semasa tempoh peralihan apabila gaji minimum baharu dilaksanakan.
Mengulas lanjut Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis menjelaskan penangguhan kuat kuasa ini mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan terhadap keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan PMKS.
“Langkah ini diambil bagi memastikan dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun tanpa menjejaskan kelangsungan operasi mereka.
“Inisiatif sebegini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan PMKS, tetapi juga memberi ruang kepada mereka untuk menyesuaikan strategi perniagaan serta mengimbangi keperluan kewangan,” katanya lagi.
Jelasnya, ini secara tidak langsung akan membantu dalam usaha pemulihan ekonomi syarikat dan memperkukuhkan daya saing mereka dalam pasaran. – UMNO Online