Akta Pembaharuan Bandar Perlu Utamakan Penduduk – Pemuda UMNO Bandar Tun Razak

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak sedia maklum berkenaan pengenalan Akta Pembaharuan Bandar (Urban Renewal Act) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ketuanya, Mohd Zamri Zainal Abidin berkata akta ini mempunyai potensi untuk menyusun semula pembangunan bandar dengan lebih teratur dan meningkatkan kualiti kehidupan penduduk bandar.

Jelasnya, pelaksanaannya perlu disemak secara teliti agar ia benar-benar membawa manfaat kepada rakyat, bukannya memberi kelebihan kepada pihak tertentu sahaja seperti syarikat pembangunan hartanah swasta dan pihak berkepentingan peribadi.

“Kami menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan projek pembaharuan bandar ini akan mengabaikan hak serta kebajikan penduduk sedia ada, terutamanya buat mereka yang telah lama menetap di kawasan terlibat.

“Sejarah telah membuktikan bahawa banyak projek urban renewal sebelum ini mengakibatkan peminggiran penduduk asal dengan alasan pembangunan, tanpa menyediakan mekanisme pampasan yang adil atau penempatan semula yang sewajarnya.

“Keadaan ini bukan sahaja mencabuli hak rakyat terhadap kediaman mereka, malah memperluaskan jurang ekonomi bandar apabila hanya golongan berkemampuan dapat menyesuaikan diri dengan kenaikan kos sara hidup yang bakal berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Zamri bimbang akta ini jika tidak dikawal dengan baik, akan memberi ruang kepada pemaju untuk memonopoli kawasan bandar dan menaikkan nilai hartanah secara mendadak.

“Dengan harga rumah dan kadar sewa yang sudah pun membebankan rakyat, terutamanya golongan muda dan keluarga berpendapatan sederhana, pelaksanaan akta ini berisiko menjadikan pemilikan rumah di bandar semakin mustahil bagi kebanyakan rakyat biasa.

“Jika pembangunan hanya tertumpu kepada keuntungan tanpa mengambil kira keperluan sosial dan ekonomi rakyat, ia akan menafikan tujuan asal akta ini untuk memperbaiki kehidupan masyarakat bandar.

“Sebarang usaha pembaharuan bandar mesti dilaksanakan dengan ketelusan yang tinggi dan mengutamakan keterlibatan rakyat, khususnya golongan muda yang akan mewarisi bandar-bandar ini pada masa hadapan,” jelasnya.

Tambah beliau, sebagai langkah proaktif, mencadangkan penubuhan jawatankuasa pemantauan bebas yang terdiri daripada wakil masyarakat, termasuk golongan belia, badan bukan kerajaan (NGO), dan pakar perancangan bandar.

“Jawatankuasa ini perlu diberi mandat untuk menilai, menyemak, serta memberi cadangan terhadap setiap projek pembaharuan bandar bagi memastikan ia benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat.

“Kami tidak menolak pembangunan, tetapi ia harus berlandaskan prinsip keadilan sosial, kesejahteraan rakyat, dan keseimbangan ekonomi. Pembangunan yang mapan adalah pembangunan yang berdaya huni serta memastikan hak rakyat untuk terus tinggal di kawasan yang telah mereka diami sejak sekian lama,” katanya lagi.

Ujarnya, Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak akan terus memperjuangkan hak penduduk bandar dan memastikan suara anak muda tidak diketepikan dalam setiap dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

“Kami menyeru kerajaan agar mendengar dan mempertimbangkan pandangan rakyat sebelum melaksanakan akta ini demi masa depan bandar yang lebih adil dan inklusif.

“Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak turut menuntut agar kerajaan memperincikan peruntukan akta ini dengan memasukkan garis panduan yang jelas berkaitan mekanisme pampasan dan penempatan semula yang adil kepada penduduk yang terjejas.

“Kawalan terhadap kenaikan harga rumah dan kadar sewa bagi mengelakkan peminggiran ekonomi terhadap rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Jaminan pemilikan dan akses kepada perumahan mampu milik bagi memastikan pembangunan bandar inklusif dan tidak hanya menguntungkan golongan elit,” ujarnya.

Ujarnya lagi ketelusan dalam setiap perancangan projek dengan keperluan untuk melibatkan penduduk setempat secara aktif dalam membuat keputusan. – UMNO Online



Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit