Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Yang Kedua Satu Keperluan Strategik – Menteri Luar

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN berusaha untuk menganjurkan Sidang Kemuncak (ASEAN-GCC) yang kedua sebagai satu keperluan strategik dan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC 2023 di Riyadh, pemimpin-pemimpin bersetuju agar sidang ini diteruskan setiap dua tahun.

Menurut beliau Malaysia sedang mengusahakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sambil mengambil langkah untuk merealisasikan cadangan tersebut malah menteri-menteri ASEAN juga telah bersetuju untuk melaksanakan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.

“Berdasarkan data oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, atau International Monetary Fund (IMF), setakat Oktober 2024 jumlah terkumpul Keluaran Dalam Negeri Kasar tahunan (GDP) ASEAN, GCC dan China adalah USD24.87 trilion (22.58% dari KDNK Dunia)

“KDNK ASEAN adalah USD4.5 trilion (4.08% dari KDNK Dunia), KDNK GCC adalah USD2.1 trilion (1.9% dari KDNK Dunia), KDNK China adalah USD18.27 trilion (16.6% dari KDNK Dunia),” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Kata beliau lagi, gabungan ini membentuk entiti ekonomi yang besar dan berpengaruh dan oleh itu, mengadakan Sidang Kemuncak antara ketiga-tiga pihak ini merupakan langkah strategik yang wajar.

“Ini adalah kerana ASEAN perlu mengurangkan kebergantungan kepada pasaran dan sumber ekonomi tradisional bagi memastikan daya tahan dan kestabilan ekonomi jangka panjang. Kerjasama antara ASEAN, GCC, dan China berpotensi memperkukuhkan ekonomi serantau dan global kerana ketiga-tiga pihak ini saling melengkapi.

“China berfungsi sebagai pasaran terbesar, GCC menyediakan modal yang kukuh, manakala ASEAN memiliki sumber asli yang melimpah. Sidang Kemuncak ini juga berpotensi meningkatkan perdagangan intra-ASEAN serta usaha menjadikan ASEAN sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing,” ujarnya.

Ujar beliau lagi sidang-sidang kemuncak ini berpotensi membawa manfaat antara lain ASEAN sebagai pemangkin dan penggerak ekonomi, pembangunan dan pertumbuhan di antara negara-negara ASEAN dengan GCC dan China yang merupakan kuasa-kuasa ekonomi yang dinamik.

“Keduanya menyumbang kepada aspirasi ASEAN untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia dan  mengembangkan kepelbagaian ekonomi dalam sektor-sektor berpotensi tinggi seperti teknologi dan inovasi serta mengukuhkan kerjasama perdagangan dan pelaburan, tenaga, pertanian, keselamatan dan keterjaminan makanan, pembangunan kapasiti, dan pembangunan kesaling hubungan,” tambahnya.-

Terdahulu Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib meminta Menteri Luar Negeri menyatakan sejauh mana Malaysia boleh memanfaatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN – Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN – GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN – GCC – China dalam meningkatkan kerjasama ekonomi, perdagangan serta pelaburan negara dan serantau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit