KDN Terus Pantau, Banteras Aktiviti Sindiket Pemalsuan Kad Pengenalan – Dr Shamsul
KUALA LUMPUR, 20 Feb – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti sindiket pemalsuan kad pengenalan dalam negara.
Menurut beliau, JPN telah melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan termasuk penjualan kad pengenalan palsu atau perkhidmatan pemalsuan identiti secara atas talian dan pemantauan ini melibatkan semua platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram, dan TikTok bagi memastikan sebarang aktiviti haram dikesan dan ditangani dengan segera.
“Melalui hasil risikan yang dibuat oleh JPN, terdapat penawaran kad pengenalan palsu dibuat dengan harga sekitar RM4,000-RM5,000. Kebanyakan permintaan ini datangnya daripada warganegara asing yang ingin mendapatkan pekerjaan dan menetap di Malaysia.
“Berdasarkan hasil risikan tersebut, JPN giat menjalankan pemantauan dan melaksanakan kerjasama dengan pihak penguatkuasa yang lain seperti PDRM dan SKMM. Selain itu, JPN juga giat melaksanakan kempen kesedaran untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan orang awam mengenai kepentingan menjaga dan melindungi dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh JPN seperti Sijil Kelahiran dan Kad Pengenalan,” katanya pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh manakah langkah pemantauan serta tindakan penguatkuasaan yang telah diambil terhadap sindiket pemalsuan kad pengenalan yang dilapor menawarkan MyKad pada harga RM4,400 kepada individu yang berminat dengan mempromosikan tawaran berkenaan menerusi platform media sosial khususnya warga asing.
Dr Shamsul seterusnya menambah orang awam turut dimaklumkan mengenai kesan dan akibat membeli serta memiliki dokumen palsu, di samping menegaskan bahawa sebarang dokumen pengenalan diri hanya boleh diperoleh melalui JPN dan bukan melalui pihak ketiga.
Justeru, tegasnya JPN sentiasa mengingatkan orang awam supaya merujuk kepada portal rasmi JPN bagi mendapatkan sebarang panduan dan maklumat berhubung tatacara serta permohonan dokumen pengenalan diri.
“Sukacita diingatkan bahawa orang ramai boleh dikenakan hukuman di bawah Perkara 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 bagi kesalahan memiliki Kad Pengenalan Palsu atau Kad Pengenalan selain daripada kepunyaannya dengan denda maksima RM20,000 atau Penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai juga boleh membuat aduan kepada saluran rasmi JPN atau di 210 cawangan JPN diseluruh negara bagi melaporkan aktiviti penawaran Kad Pengenalan secara tidak sah ini,” tambahnya. – UMNO Online