Kerajaan Komited Terus Perkasakan Golongan Muda Melalui TVET – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sentiasa komited memperkasakan golongan muda yang berminat dalam pembelajaran berasaskan kemahiran melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terutama untuk memperoleh kemahiran relevan dengan keperluan industri.

Menurut beliau komitmen ini sejajar dengan usaha memperkasa TVET sebagai laluan utama bagi membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dan selaras dengan matlamat tersebut, pelbagai inisiatif telah diambil bagi memperluas akses kemasukan sebagaimana yang digariskan dalam Dasar TVET Negara 2030.

“Sebanyak 1,398 institusi TVET di Malaysia menawarkan pelbagai program kemahiran merangkumi bidang soft skills seperti jahitan, dandanan rambut, dan pengurusan hotel, serta bidang berasaskan High Growth High Value (HGHV) seperti industri peralihan tenaga, teknologi, dan digital. Selain itu, kerajaan komited untuk memperkasakan program TVET berasaskan teknologi tinggi selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Langkah ini bertujuan memastikan graduan TVET dilengkapi dengan kemahiran yang sejajar dengan perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan tenaga kerja industri yang semakin pesat berkembang. Program TVET turut menawarkan pendekatan fleksibel dan berstruktur bagi memastikan mereka tidak terpinggir daripada pembangunan modal insan negara. Institusi TVET telah memulakan program latihan yang lebih fleksibel dan berbentuk jangka pendek untuk memberi peluang kepada golongan muda memperoleh sijil kemahiran dalam tempoh yang lebih singkat.

“Fleksibiliti program TVET juga dipertingkatkan dengan mempelbagaikan kaedah latihan seperti Akademi Dalam Industri (ADI), Program Perantisan, Work-Based Learning (WBL), dan Industrial Bootcamp. Mekanisme latihan ini membolehkan pembelajaran dijalankan secara bersama antara institut latihan dan industri, di mana latihan kemahiran berfokus diberikan di tempat kerja sebenar.”

Katanya, pendekatan ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada ekosistem pekerjaan.

“… tetapi juga memastikan pelatih mendapat bimbingan secara langsung daripada pengamal industri, khususnya dalam aspek latihan amali dan kemahiran spesifik yang memenuhi keperluan semasa pasaran kerja,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How meminta Perdana Menteri menyatakan inisiatif yang diambil oleh Kerajaan dalam memperkasakan golongan muda yang berminat dalam pembelajaran berasaskan kemahiran melalui program TVET.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah seterusnya menambah fleksibiliti pelaksanaan program TVET ini turut diperkukuhkan dengan pengenalan program micro-credential, yang membolehkan pelatih mendapat pengiktirafan terhadap setiap pencapaian kemahiran yang diperoleh.

Tambahnya lagi konsep micro-credential ini membolehkan pelatih merancang jadual latihan secara lebih dinamik, mengikut keperluan dan tahap kesediaan masing-masing dan pada masa yang sama  micro-credential juga membantu golongan yang tercicir untuk memperoleh kelayakan secara berperingkat, sekaligus meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja dalam tempoh yang lebih singkat.

“Selain itu, peluang yang disediakan dalam bidang TVET juga merangkumi latihan berperingkat berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). Para pelatih boleh memulakan latihan dari Tahap 1, yang membolehkan mereka memperoleh persijilan seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berdasarkan tahap latihan yang diikuti. Mereka turut diberikan peluang untuk meningkatkan kelayakan ke peringkat lebih tinggi.

“Sebagai contoh, pelajar lepasan TVET kini berpeluang melanjutkan pengajian ke Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) berdasarkan kelayakan semasa dalam bidang TVET tanpa perlu memenuhi syarat kelayakan SPM. Ini menunjukkan bahawa laluan TVET bukan hanya sekadar latihan asas, tetapi juga menyediakan peluang pendidikan tinggi bagi mereka yang ingin terus berkembang dalam bidang kemahiran.

“Secara keseluruhannya, program TVET dapat menarik lebih ramai pelajar dan memperluaskan akses kepada latihan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri serta melahirkan tenaga kerja mahir yang kompetitif. Dengan pendekatan fleksibel, berasaskan industri, TVET memastikan tiada individu yang dipinggirkan terutamanya golongan muda daripada arus pembangunan negara. Langkah ini selaras dengan usaha Kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara mampan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit